23 PATI Warga Myanmar Ditahan Di Bukit Kayu Hitam


KUBANG PASU - Pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) menahan 23 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berhampiran Pos 2, Bukit Kayu Hitam dekat sini, semalam.

Panglima 6 Briged Brig Jen Abdul Aziz Ismail berkata kesemua PATI berusia 15 hingga 52  tahun itu ditahan kira-kira 7.30 pagi semalam ketika cuba menyusup masuk ke negara ini melalui pagar sempadan.

"Ketika melaksanakan Serang Hendap (SERDAP), anggota berkenaan mengesan sekumpulan PATI  di sekitar kawasan sempadan berhampiran Pos 2 yang menyusup masuk ke negara ini, mereka masuk  melalui lubang di pagar keselamatan sempadan berhampiran pos 3 yang terletak  berdekatan sebelum itu.

"Pemeriksaan yang dibuat mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan untuk memasuki negara ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, 19 beg galas mengandungi pakaian, 10 telefon bimbit, dua unit buku nota dan wang tunai Thailand sebanyak 7,640 Baht dan wang tunai Myanmar sebanyak 95,800 Kyats dirampas daripada mereka.

Kesemua PATI itu dibawa ke Pusat Pergigian Angkatan Tentera  (PPAT) 5 Rejimen Sempadan untuk pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan kepada polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut, katanya. - Bernama