3,000 Sukarelawan Kedah Jayakan KK1M


SUNGAI PETANI – Sekurang-kurangnya 3,000 sukarelawan menjayakan Kembara Kebajikan 1 Malaysia (KK1M) 2018 di Kedah sebelum Bendera Kembara diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang.

Exco Kebajikan, Datuk Suraya Yaacob mewakili menteri besar berkata, dalam kembara berkenaan seramai lebih 300 klien  JKM dibantu melalui 10 konsep pengisian sepanjang 5 hingga 7 Mac 2018.

Menurutnya, ia meliputi pelbagai zon iaitu Zon A terdiri daripada daerah Langkawi, Zon B dijalankan di Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena dan Kota Setar manakala Zon C merangkumi Sik, Pendang dan Yan.

“Manakala kita ada Zon D meliputi Bandar Baharu, Kulim dan Baling yang mana kesemuanya akan bergerak dan berkumpul pada hari terakhir di Zon E iaitu di sini Kuala Muda,” katanya ketika membuat Pelancaran KK1M Tahun 2018 peringkat negeri Kedah.

Pelancaran disempurnakan di Rumah Anak Yatim Daerah Kuala Muda dekat Kampung Che Bema Sungai Layar.

Dalam majlis sama, penyerahan Bendera Kembara turut disempurnakan kepada JKM Pulau Pinang.

Sumber: Sinar Online