4 Lagi Anggota PPBM Keluar Parti, Sertai UMNO


TAIPING – Empat lagi anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Larut yang diketuai bekas Ketua Bahagian PPBM Bahagian Larut Mohd Radzi Ramli hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai UMNO.

Mohd Radzi berkata tindakan itu dilakukan kerana hilang kepercayaan terhadap parti itu yang hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu sahaja selain berlaku perpecahan di kalangan anggota jawatankuasa.

”Masing-masing (ahli parti Bahagian Larut) menunjukkan kehebatan serta menonjolkan diri dan saling pijak memijak antara satu sama lain untuk dipilih sebagai calon bagi pilihan raya akan datang dan saya sebagai ketua bahagian pun disisihkan begitu saja.

“Saya telah dijadikan batu loncatan untuk kepentingan mereka atau individu tertentu sahaja. Saya individu yang menubuhkan PPBM di sini semenjak tahun 2016 bersama beberapa orang rakan yang lain telah dipinggirkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tiga lagi anggota PPBM yang keluar parti pada hari ini termasuklah Ketua Srikandi PPBM Bahagian Larut Rosnani Wahab dan dua anggota biasa.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO yang juga anggota Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata UMNO tidak pernah meminggirkan anggotanya atas sesuatu kepentingan.

“Ia sudah menjadi kebiasaan, pembangkang bila nak dekat PRU14, baru nampak sikap diktator yang dilakukan pemimpin besar mereka. Barulah nampak kuku besi, sebelum itu dia guna mereka (anggota PPBM) dan bila sampai pada waktunya barulah orang akan nampak apa berlaku sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata UMNO sentiasa menerima mereka yang ingin kembali kepada parti itu dengan hati yang terbuka.

“Kita percaya ramai lagi akan kembali dan mari kita teruskan perjuangan asal kita, perjuangan datuk nenek kita, bukan untuk sesiapa tetapi untuk membela nasib bangsa, agama dan negara,” katanya.

Pada Februari lepas, 50 anggota PPBM Larut yang diketuai bekas ketua penaja dan Setiausaha PPBM Bahagian Larut Shafie Mohd Khairy juga keluar parti dan menyertai UMNO. – BERNAMA