5,000 Anak Orang Asli Berjaya Lanjut Pelajaran Ke IPTA


KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 anak masyarakat Orang Asli berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 2010 hingga tahun lalu, persidangan Dewan Negara diberitahu lalu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata bilangan pelajar Orang Asli yang berada di Institut Pendidikan Guru pada tempoh sama adalah 53 orang.

Beliau berkata pihaknya kini dalam rangka melaksanakan program baharu buat masyarakat Orang Asli untuk memastikan mereka terus berdaya saing termasuk penekanan dari segi kesedaran kepada ibu bapa masyarakat tersebut dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Kementerian menjadikan tumpuan bagi membangunkan masyarakat Orang Asli sebagai agenda utama. Perkara ini memerlukan usaha yang lebih fokus untuk memastikan mereka tidak ketinggalan seperti dalam bidang pendidikan.

“Seramai 87 pelajar masyarakat Orang Asli berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam pelbagai kursus sejak 2010 hingga 2013 iaitu enam orang pada peringkat ijazah doktor falsafah (PhD), 33 orang pada peringkat ijazah serta 48 pelajar pada peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid mengenai usaha JAKOA dalam usaha memperkasakan ilmu dan kemahiran belia Orang Asli di luar bandar bagi menyediakan asas Transformasi Nasional 2050 (TN50). – Bernama