57 Pekerja Asing Ditahan Ditahan Imigresen Kedah


CUBAAN 20 pekerja asing memanjat tembok setinggi dua meter bagi meloloskan diri, gagal apabila mereka dicekup dalam operasi Jabatan Imigresen negeri di kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani, semalam.

Dalam Op Mega 2.0 itu, mereka yang dipercayai pekerja kilang terbabit bertindak sedemikian sebaik menyedari kehadiran 16 anggota penguat kuasa pada 1 tengah hari.

Mereka adalah sebahagian daripada 57 pekerja asing pelbagai warganegara, ditahan dalam operasi di dua lokasi berasingan membabitkan kilang papan dan tapak pembinaan di sekitar Sungai Petani.

Operasi bermula 11 pagi hingga 4 petang itu turut disertai 96 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin berkata, anggota penguat kuasa menahan 28 pekerja asing dalam serbuan pertama di kilang papan di Bukit Selambau, diikuti 29 orang lagi di tapak pembinaan di Bandar Sungai Lalang.

Ketika serbuan di kedua-dua lokasi, katanya, ramai warga asing terbabit bertindak melarikan diri, termasuk bersembunyi di bawah timbunan papan, tetapi berjaya ditahan dengan bantuan anggota RELA yang sudah membuat kepungan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 54 tahun membabitkan 16 lelaki dan enam wanita warga Indonesia, 15 lelaki dan empat wanita warga Myanmar, sembilan lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Nepal dan tiga lelaki warga Pakistan.

“Pemeriksaan awal mengesan kesemua pekerja asing ini melakukan kesalahan seperti tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, tinggal di Malaysia melebihi masa dan melanggar syarat pas diberikan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dipercayai majikan di kilang papan yang diserbu.

Katanya, lelaki itu akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing yang melakukan kesalahan imigresen.

Kesemua 57 warga asing ditahan pula akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Mereka dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, untuk siasatan lanjut.

Sumber: MyMetro