MEMANG terbukti kereta yang terjaga mendapat nilai yang lebih baik apabila anda ingin menjual atau menukar ganti (trade-in) kereta pada pengusaha kereta terpakai. Banyak kelebihan jika kita memberi penjagaan yang rapi dan mengamalkan cara penjagaan kenderaan yang betul tetapi sering dilepas pandang serta diambil mudah oleh pengguna.
Jadi untuk ruangan Tip Pengguna, Sinar Turbo akan berkongsi tip penjagaan asas yang boleh anda lakukan supaya anda tidak menanggung kerugian apabila ingin menjual kenderaan anda.
Elak pengubahsuaian yang terlampau.
Kereta yang diubah suai sistem ekzos, pemecah angin (spoiler) atau kit badan (bodykit) yang ekstrim serta air brush yang terlalu menonjol menimbulkan perasaan kurang selesa kepada bakal pembeli dan juga pengusaha kereta terpakai. Orang ramai biasanya meminati kereta yang berada dalam keadaan asal. Penjual kereta terpakai juga tidak mengambil kira nilai aksesori tambahan dan mungkin ada yang memberi harga lebih rendah kerana mereka terpaksa memulihkan kereta berkenaan kepada keadaan asal.
Elak daripada membawa muatan besar dan berat.
Membawa buatan yang melebihi had muatan akan menyebabkan kerosakan bahagian dalaman dan juga sistem penyerap hentak kereta. Membawa muatan penumpang berlebihan juga merupakan satu kesalahan trafik.
Jangan cuba membuat baik pulih sendiri tanpa ada asas kemahiran.
Kerja teknikal yang rumit elok diserahkan kepada mekanik. Kerja yang kurang kemas atau tidak mengikut kaedah yang betul akan menjatuhkan nilai harga kereta anda. Ada sesetengah perkara anda boleh baiki sendiri. Ada pula situasi anda perlu ke bengkel bertauliah kerana banyak komponen kereta hari ini melibatkan tetapan komputer yang memerlukan alatan, pengetahuan dan kelengkapan diagnostik khas. Jangan jadi seperti 'tikus membaiki labu'. Lainlah jika anda seorang mekanik bertauliah.
Gunakan parking berbumbung.
Jika anda terpaksa meletakkan kereta di tempat terbuka dan panas pastikan anda meletakkan penghadang cahaya pada cermin hadapan kereta. Ini mengurangkan tahap haba dalam kereta. Suhu terlampau menyebabkan keretakan pada bahagian papan pemuka serta komponen plastik di ruang dalaman kereta. Amalan penjagaan yang mudah ini membolehkan anda mendapat nilai terbaik untuk kereta anda. Bukan itu saja ia juga memastikan kereta terjaga.
Elakkan merokok dalam kereta.
Mereka yang gemar merokok dalam kereta mempunyai risiko kehilangan sejumlah wang apabila tiba waktu mahu menjual atau menukar beli mengikut kajian yang dilakukan oleh pengarang Carbuyer UK. Lebih tepat, kaji selidik yang dilakukan oleh Carbuyer terhadap 6,000 orang mendapati 87 peratus dari mereka tidak akan membeli kereta terpakai yang pernah digunakan untuk merokok.
Servis kenderaan mengikut jadual.
Anda perlulah menukar minyak enjin mengikut jadual dan waktu yang disyorkan pengeluar kereta. Jangka hayat enjin kenderaan mampu bertahan lama apabila seseorang itu rajin dan sentiasa menukar minyak enjin mengikut jadual yang ditetapkan.
Sumber: Sinar Online