ALOR SETAR - Sebanyak 810 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM76,950 berjaya dirampas Markas 6 Briged melalui Pasukan Batalion ke 4 Rejimen Renjer Diraja (RRD) berhampiran Pos Sahara dipercayai untuk diseludup ke negara jiran kira-kira jam 10 malam Jumaat lalu.
Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Abdul Azizi Ismail berkata, rampasan itu dibuat oleh kumpulan peronda yang diketuai oleh Mejar Md. Khoiri Ahmad bersama tiga anggotanya selepas terserempak dengan kenderaan yang mencurigakan.
“Pasukan tersebut menjumpai sebuah kenderaan pacuan empat roda datang dari arah bertentangan menuju ke sempadan dalam keadaan mencurigakan.
“Bagaimanapun, pemandu kenderaan tersebut berjaya melarikan diri ke arah semak berhampiran dengan lokasi berkenaan apabila menyedari pasukan keselamatan cuba menghampiri bagi tujuan pemeriksaan,” katanya.
Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Mitsubishi Pajero itu menemukan daun ketum terbabit.
Sementara itu, pihaknya turut meramas kenderaan bernilai RM 10,000 itu dan menjadikan jumlah rampasan tersebut berjumlah RM86,950.
Abdul Aziz memberitahu, aktiviti penyeludupan daun ketum ke sempadan semakin meningkat oleh kerana permintaan dan harga tinggi.
“Sebelum ini kita berjaya menumpaskan aktiviti menyeludup yang besar melibatkan 700 kg daun ketum dibawa ke Thailand melalui sempadan,” jelasnya.
Beliau menambah, barangan yang dirampas dibawa ke balai polis Kuala Nerang bagi siasatan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan di sempadan negara dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan terus berleluasa berlaku di negara ini. - Kedahnews.com