Agrobank Anggap Negeri Kedah Paling Istimewa


ALOR SETAR – Satu kebanggaan bagi negeri Kedah tatkala mendapat tempat istimewa di hati Agrobank,  yang dahulunya lebih dikenali sebagai Bank Pertanian.

 Pengerusi bank itu, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mendedahkan kedah adalah yang paling istimewa bagi mereka kerana cawangan pertama bank itu buat pertama kalinya dibuka di Alor Setar pada 1970.

“Matlamat utama pembukaannya untuk membiayai projek pengairan bagi menampung penanaman padi dwimusim di Kedah dan Perlis yang dikenali sebagai kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” kata beliau selepas menghadiri program Komuniti Agrobank di sini semalam.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan yang juga Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz menyempurnakan program yang berlangsung di Taman Arowana, Ayer Hitam dekat sini itu.

Tambah Mohamad Zabidi, meskipun telah sekian lama beroperasi, kegiatan pertanian di Kedah masih giat dan aktif dan ia dibuktikan apabila bank itu merekodkan peningkatan bagi jumlah pembiayaan di Kedah iaitu sebanyak RM632.43 juta setakat Disember 2017.

Jelasnya lagi, peningkatan sebanyak lima peratus lebih tinggi dari pertumbuhan yang dicatatkan setakat tahun 2016 iaitu sebanyak RM602.31 juta itu amat membanggakan.

“Negeri Jelapang Padi ini merupakan antara lokasi yang mempunyai tanah serta kekayaan hasil bumi yang subur, oleh itu prospek perniagaan berasaskan agro tampak cerah,” katanya.

Hampir 1,000 penduduk setempat di Parlimen Jerlun menghadiri program Komuniti Agrobank yang bertujuan merapatkan hubungan antara pihak bank dan orang ramai.

Dalam pada itu, Othman turut merasmikan Jerlun Entrepreneur Development Initiative (JEDI), satu inisiatif daripada parlimen Jerlun dalam usaha membantu usahawan meneroka peluang pemasaran dengan lebih luas lagi.  - Kedahnews.com