Aiman Tino Jadi Pelakon Bakal Muncul Dalam Mak Cun 4


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu. Selepas namanya dicatat menerusi Malaysia’s Book of Record kerana kejayaan lagu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino kini bakal mewarnai industri lakonan.

Penyanyi yang berusia 20 tahun itu bakal munucl di dalam drama siri kekeluargaan kegemaran ramai, iaitu Mak Cun 4 tidak lama lagi.

“Gementar sangat bila masuk set. Biasalah pelakon baharu, ada kena tegur sikit tapi Alhamdulillah, satu pengalaman yang sangat menyeronokkan.

“Memang kena cakap dialek Kedah tapi saya sebelum ini ada juga cuba-cuba jadi tak lah susah sangat. Memang teruja lah,” katanya dipetik daripada sebuah akhbar tempatan.

Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri mengakui bahawa tujuan dia melebarkan sayap ke dunia lakonan ialah disebabkan mahu memberikan sisi kelainan dalam dirinya.

Selain itu, dia tidak terlepas untuk merebut peluang membintangi drama popular itu kerana ia akan memberi pengalaman baharu dalam karier seninya.


Umum sudah mengetahui bahawa drama Mak Cun lakonan Erma Fatima berlatarbelakangkan penduduk di Kedah dan disebabkan itu, Aiman berasa sedikit gementar kerana dia perlu bercakap dalam dialek Utara.

Namun perkara itu bukanlah sesuatu yang berat baginya kerana ia merupakan pengalaman baharu dan berharga sebagai pendatang baharu sepertinya.

Pada awal bulan lalu, Aiman baru sahaja selesai menjalani penggambaran di Jepun bagi muzik video lagu baharunya berjudul Ku Sesat Dalam Rindu.

Bakatnya sebagai pelakon mula dapat perhatian umum selepas dijemput sebagai artis jemputan menerusi program Bintang Bersama Bintang yang melihatkan dia bergandingan dengan pelawak Achey dari kumpulan Bocey.  – Kedahnews.com