Air Terjun Lata Sepik terletak di penempatan Orang Asli kaum Semai berdekatan Kampung Pisang, Ulu Rasau, Behrang, Perak mungkin agak asing dan kurang menjadi pilihan dalam kalangan pelancong.
Tambahan pula, lokasinya yang terletak di pinggir hutan, kira-kira 25 kilometer (km) dari pekan Tanjung Malim, menyebabkannya kurang popular.
Pun begitu, destinasi eko-pelancongan Lata Serpik mula diteroka kaum Semai pada awal 90-an, namun mula menjadi perhatian pengunjung sekitar 2002. Taman rekreasi alam semula jadi ini mampu menarik kehadiran pelancong kira-kira 100 orang sehari terutama pada hujung minggu, suatu ketika dahulu.
Namun, bagi penduduk sekitar Tanjung Malim dan Slim River, Air Terjun Lata Serpik adalah destinasi percutian yang dianggap masih ‘dara’ kerana belum tercemar dengan aktiviti pembangunan tanpa kawalan.
Destinasi ini menampilkan pemandangan alam semula jadi memukau, menarik pengunjung khususnya bagi mereka yang meminati aktiviti lasak seperti kenderaan pacuan empat roda (4×4) dan perkhemahan.
Lebih istimewa, lokasi ini menyajikan panorama menakjubkan terutama pada awal pagi apabila kawasan persekitarannya diselaputi kabus yang dihujani percikan air.
Selain kedinginan dan kejernihan airnya, destinasi perkelahan ini dianggap ‘syurga’ kerana keindahannya membuatkan perasaan lara, kembali ceria apabila mendengar deruan pusaran airnya, lapor BH
Penasihat Tok Batin Kampung Pisang, Serani Siwah, 60, berkata perkampungan Orang Asli di situ begitu popular dalam kalangan pelancong suatu ketika dahulu kerana menjadi destinasi transit sebelum merentas denai Hutan Simpan Ulu Slim untuk tiba di kawasan perkelahan di sini.
Katanya, perjalanan menuju Lata Serpik mengambil masa 20 minit sebelum sampai ke ‘taman tema’ bagi Orang Asli di kawasan itu. Pengunjung berpeluang mandi-manda bersama kanak-kanak Orang Asli di kawasan berkenaan.
Lata Serpik sebelum ini kata beliau, pernah popular sekitar awal 2000 kerana destinasinya strategik, namun semakin sepi beberapa tahun kemudian. Dulu saya bersama penduduk mengadakan bergotong-royong membersihkan kawasan perkelahan supaya sentiasa bersih, sekali gus menjadi tarikan orang ramai untuk bercuti.
“Apabila usia meningkat dan anak-anak pula meneruskan persekolahan di luar daerah, kami warga tua di sini sudah tidak ada kudrat untuk membersihkan kawasan berkenaan. Tiada siapa menguruskan kawasan perkelahan hingga kini tinggal terbiar.
“Kemudahan asas yang disediakan seperti gazebo, tandas dan dewan makan juga sudah rosak dan tidak yang rosak kerana tiada kerja penyelenggaraan, termasuk denai yang menuju ke kawasan air terjun, ditumbuhi semak-samun.
“Tambahan pula, kawasan rekreasi ini terletak hampir dengan kampung Orang Asli, sekali gus menjadi nilai tambah kepada penduduknya memperoleh pendapatan sampingan apabila ia menjadi produk pelancongan.
“Di kawasan air terjun ini terdapat lokasi misteri yang dinamakan Batu Ular Tedung. Tempat ini dipercayai menjadi tumpuan reptilia berbisa berkeliaran terutama menjelang musim kemarau mencari makanan dan bekalan air,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui apabila menyertai ekspedisi bersama 20 pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) yang bertindak sebagai penyelaras program diketuai Yang Dipertua (YDP), Mohd Syukri Azaari.
Mohd Syukri berkata, destinasi percutian ini sesuai kepada mereka yang menggemari aktiviti kenderaan pacuan roda dan perkhemahan.
“Insya-Allah kami akan memberi kerjasama dan bantuan kepada penduduk Orang Asli Kampung Pisang untuk membangunkan Air Terjun Lata Serpik kembali menjadi destinasi eko-pelancongan popular,” katanya.
FAKTA NOMBOR
60 keluarga – Orang Asli Kaum Semai
20 kilometer – Jarak Lata Serpik dari Kuala Lumpur
Sumber: Suara TV