Ajar Matematik, Sains Guna Bahasa Inggeris Seperti Kembali Zaman Penjajahan


Cadangan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melaksanakan semula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) seolah-olah mahu menghina bangsa dan negara.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bangsa yang hina adalah mereka yang dipengaruhi oleh penjajah yang menjajah mereka.


"Kita kena faham bahawa tokoh politik yang besar pun meletakkan peranan bahasa dalam pendidikan, kecuali tokoh politik yang gagal, yang asyik ingin balik ke zaman penjajahan," kata Hadi.


Beliau menyifatkan Dr. Mahathir sebagai  sebagai tokoh politik yang gagal kerana bercadang melaksanakan semula Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.


Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia baru-baru ini berkata, jika pakatan pembangkang menjadi kerajaan, kedua mata pelajaran itu mungkin diajar dalam bahasa Inggeris. .


Menurut Hadi lagi, al-Quran, surah Ibrahim juga menyebut bahawa pendidikan perlu menggunakan bahasa ibunda masing-masing kerana pelaksanaan dalam bahasa asing adalah gagal dan memakan masa yang lama.


Perkara itu turut disokong melalui penyelidikan oleh agensi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sebab itu negara-negara maju seperti China, Jepun dan Jerman mampu ke hadapan kerana mereka menggunakan bahasa ibunda, ujar ahli Parlimen Marang itu.


Ini berbeza dengan India yang gagal menandingi tiga negara maju itu berikutan seluruh masyarakat negara itu dari pemimpin hingga peminta sedekah menggunakan bahasa Inggeris," katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun YouTube, semalam.


Mengulas lanjut Abdul Hadi memberi contoh  bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew turut menyatakan bahawa negaranya gagal kerana mendidik rakyat dengan budaya Barat.


PPSMI yang diilhamkan oleh Dr. Mahathir,  ditamatkan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran selepas  didapati gagal dan ditentang oleh pejuang-pejuang bahasa dan pemimpin politik.


Pembelajaran mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris telah melebarkan jurang antara pelajar luar bandar dan bandar selain sukar untuk mendapatkan guru yang terlatih  dalam bahasa Inggeris bagi mengajar dua subjek itu. - Kedahnews.com