Akta Kenderaan Terbiar Bakal Diketahui 3 Tahun Kemudian


JALAN raya di Malaysia sering kali diperlihatkan dengan kereta-kereta baru oleh kebanyakan rakyat Malaysia yang berkemampuan memilikinya.

Lantas, pemilikan kenderaan baru akan meningkatkan kadar penghasilan kenderaan dari semasa ke semasa mengikut permintaan pelanggan.

Persoalannya, bagaimana pula kenderaan-kenderaan lama yang terbiar dan sudah tidak berfungsi?

Kenderaan yang terbiar mampu membawa bahaya kepada orang awam kerana boleh menjurus kepada pembiakan nyamuk termasuk Aedes, mengganggu kawasan parkir awam dan memiliki bahan toksik yang boleh mendatangkan pencemaran alam sekitar.

Berikutan itu, undang-undang berkaitan pengurusan kenderaan terbiar, termasuk membolehkannya dirampas untuk dilupuskan, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Lapor Berita Harian, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, kajian akan dilaksanakan bagi meneliti semula keperluan mewujudkan dasar berkaitan bagi menggubal undang-undang khas untuk menangani isu kenderaan terbiar.

“Isu kenderaan terbiar ini mendapat perhatian ramai. JPM maklumkan kepada saya bahawa kira-kira 6,000 aduan dari lapan kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor diterima daripada orang awam berhubung masalah ini.


“Hasil mesyuarat antara semua kementerian berkaitan hari ini, kami bersetuju menubuhkan kumpulan kerja yang akan membincangkan isu ini lebih mendalam serta mencadangkan dasar dan kaedah pengurusan kenderaan terbiar kepada kerajaan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Kerjasama antara lima pihak iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Perdana Menteri (JPM) diperlukan bagi membincangkan isu kenderaan terbiar.

Tambahnya lagi, mengambil kira denda kepada pemilik kenderaan terbiar akan diambil kira dalam perbincangan undang-undang baru yang bakal digubal.

Pada November tahun lalu, beliau memberitahu, kira-kira lapan juta kenderaan rosak dan terbiar dilaporkan berada di tepi jalan, kawasan tempat letak kenderaan serta lokasi lain. - Kedahnews.com