Aku Tak Nak Anak Ini!


BUKAN dia seorang, ada beberapa orang lagi yang penulis temui di Rumah Puteri Arafiah, yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam itu. Dengan perut kian membesar, dia menunduk di suatu sudut, merenung nasib diri.

Apalah agaknya yang difikirkan, penulis cuba selami sedalam-dalamnya, apa akan jadi pada dirinya selepas ini, sebaik melahirkan anak yang dikandung, yang dia sendiri tahu siapa 'ayah' kepada anak itu.

Mungkin satu penyesalan terbetik di hati, namun nasi sudah menjadi bubur, meneruskan hari-hari di rumah itu, terasa lama bagi dia, apatah lagi menanti saat-saat kelahiran yang dia sendiri tidak pernah melalui pengalaman melahirkan, dan selepas ini perlu pula belajar memandikan, menyusukan, memakaikan lampin, berjaga malam jika ada tangisan si kecil.

Arggh penulis tidak dapat bayangkan, dalam kepayahan membawa perut itu, dalam usia yang masih muda... penulis tidak mahu meletakkan salah dia atau salah ibu bapanya. Namun tidak dapat juga membisukan persoalan, tertanya bagaimana dia boleh terjebak ke kancah itu, bergelumang noda dan dosa. Ke mana ibu bapanya yang sepatutnya menjadi pelindung dan pembimbing hidup remaja itu.

Wahai ibu bapa... lihatlah anakmu, jengok-jengoklah kamar mereka, tanyalah pada mereka tentang pelajaran hari ini, ajaklah mereka berkawan, jadikanlah anak teman berbicara agar kemesraan itu menjadi pendinding daripada mereka terasa keseorangan, bosan berada di rumah, mencari hiburan di luar yang akhirnya menjebakkan mereka dengan gejala sosial.

Dan... lelaki durjana, si pembuat onar yang membuntingkan gadis itu, ke mana dia? Apakah tidak mahu bertanggungjawab? Apakah masih mencari-cari 'mangsa' seterusnya?

Berubahlah anak...

Penulis pandang lagi, tengok yang lainnya, terasa ingin pergi kepada seorang demi seorang mahu meminta dikongsikan kisah mereka, kenapa, bagaimana boleh 'terlontar' di rumah ini.

Namun penulis sedar, tidak semua sedia berkongsi, perlukan masa, ruang dan privasi. Tetapi penyesalan tampak melimpah di wajah-wajah mereka.

Syukurlah bagi yang merelakan diri untuk ditempatkan di rumah ini, sekurang-kurangnya ada insan yang sudi menjaga, memberi bimbingan agama dan menyambut kelahiran anak mereka nanti.

“Saya pernah bertanya kepada sebilangan pelatih, atas faktor apa yang menyebabkan mereka boleh tersalah langkah sehingga mengandung. Rata-rata menjawab faktor utama adalah media sosial, kemudian pengaruh rakan dan kurang kasih sayang ibu bapa.

“Pada awalnya, kebanyakan pelatih akan berselindung untuk bercerita kerana masih malu, takut dan ego. Tetapi apabila kami warden atau pengurus mendekati mereka secara lebih dekat, baru kebanyakan akan membuka cerita bagaimana mereka boleh terlanjur dan pernah mengadakan hubungan seks sejak usia 10 tahun,” kata Pengurus Rumah Puteri Arafiah, Hazwani Husna Azman.

Jangan tambah dosa

Hazwani yang mesra disapa Ummi dalam kalangan pelatih sering mendengar rintihan pelatih yang menyesali setiap perbuatan mereka dahulu.

Siapa sangka, wajah polos dan suci anak remaja ini, sudah menghadapi masalah sosial yang berat sehingga terpaksa menjadi ibu pada usia sangat muda.

Hazwani yang menjadi pengurus rumah tersebut lebih empat tahun turut mengakui, emosi remaja yang mengandung ini memang tidak stabil.

Ada antara mereka yang tidak mahu anak itu sehingga terpaksa bertemu dengan pakar psikologi kerana emosi dan perasaan yang berkecamuk.

“Tetapi, saya sering mengingatkan mereka, jangan menambah dosa dengan membuang anak yang tidak berdosa itu, cukuplah dengan apa yang mereka telah lakukan sebelum itu, kerana setiap yang dilakukan akan ditanya di akhirat nanti,” katanya.

Sumber: Sinar