Alaaa... Kesiannya! Anak Kucing Tersepit Dalam Rim Kereta Lama


ALOR SETAR - Agak memilukan hati tatkala melihat nasib seekor anak kucing yang terperangkap dalam rim kereta lama di sebuah kedai makan di Jalan Putra, di sini, kelmarin.

Mujurlah derita anak kucing tersebut berakhir dan nyawanya telah berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Kota Setar, kelmarin.

Pegawai APM daerah Kota Setar, Kapten Mohd Zain Baharom berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.16 pagi, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian bagi menghulurkan bantuan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, APM Kota Setar terdiri daripada empat anggota mendapati seekor anak kucing terperangkap dalam rim lama.

“Anggota menggunakan ‘Hydraulic spreader cutter’ untuk menyelamatkan kucing itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zain berkata, operasi menyelamatkan nyawa kucing tersebut mengambil masa yang agak lama yakni dua jam enam minit kerana ia memerlukan ketelitian.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya turut memusnahkan sarang tebuan dalam pembesar suara ditemui di taman permainan Ampang Jajar pada jam 1.26 tengah hari. - Kedahnews.com