KUALA LUMPUR - Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam, mendedahkan beliau terdetik untuk merakamkan tindakannya menyelamatkan dua anak anjing yang terjatuh ke dalam longkang, baru-baru ini, bagi memupuk sikap prihatin di kalangan anggota masyarakat.
Katanya, video terbabit juga diharap membantu orang ramai menyemai semangat suka membantu haiwan dalam kesusahan.
"Saya terdetik merakamkan tindakan saya menyelamatkan anjing terbabit, tempoh hari, supaya orang lain juga prihatin dan dapat berbuat perkara sama.
"Tidak dinafikan, ada sesetengah daripada kita yang memandang jijik terhadap anjing hanya kerana kita, orang Islam, diharamkan menyentuhnya. Namun ingatlah, anjing pun makhluk Allah juga. Kita sesama makhluk Tuhan digalakkan saling membantu.
"Kepada masyarakat di luar sana, rajin-rajinlah membantu haiwan jalanan, terutamanya apabila ia dalam kesusahan. Saya percaya, ramai antara kita yang tebal dengan sikap kasih sayang terhadap haiwan," kata anggota kumpulan Forteen itu kepada BH Online.
Beberapa hari lalu, sikap murni dan tindakan pantas Izzue menyelamatkan anak anjing yang terjatuh dalam longkang di kawasan perumahannya, mendapat pujian ramai.
Video yang dikongsi penyanyi Muzik Tiduranku itu di laman Instagramnya juga menjadi tular dan sehingga kini sudah ditonton lebih 231,000 kali.
Bagi Izzue, 27, sekali pun haiwan itu haram dipegang oleh orang Islam apabila basah, ia tidak menjadi penghalang untuknya menghulurkan bantuan.
"Sekalipun kita tak boleh pegang anjing, tetapi kita juga harus ingat, Islam itu agama yang mudah. Andai kata terdesak, boleh saja kita memegangnya. Kemudian boleh disamak.
"Anjing yang saya tolong itu pun kecil lagi. Ia belum pandai nak lompat ke atas kerana longkang terlalu dalam. Bimbang juga jika ia mati kesejukan kerana ada air dalam longkang itu," katanya.
Sumber: BH Online