Amalan Doula Di Negara Ini Ekstrem


KEMENTERIAN Kesihatan menyifatkan amalan doula di negara ini lebih ekstrem berbanding luar negara apabila sanggup menasihati wanita yang mengandung bersalin di rumah tanpa mengira risiko dihadapi.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ada dalam kalangan doula di negara ini turut mengaitkan amalan itu dengan agama, seperti ketika Mariam melahirkan Nabi Isa.

“Amalan di luar negara seperti Amerika Syarikat, doula tidak sampai kepada peringkat menasihati ibu bersalin di rumah atau dalam bahaya.

“Di negara ini, mereka lebih ekstrem apabila menasihati ibu bersalin di rumah, walaupun tidak mengetahui keadaan ibu terbabit, sama ada berisiko tinggi atau tidak.

“Mereka pandai bercakap dan akhirnya ibu ini terpengaruh dan melahirkan bayi di rumah,” katanya ketika menjawab soalan Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) mengenai amalan doula ketika persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Dr Hilmi berkata, pihaknya bimbang apabila bayi yang dilahirkan di rumah menyebabkan berlaku banyak kematian.

“Doula dalam bahasa Greek maknanya hamba wanita tujuan asal membantu wanita hamil seperti memberi nasihat dan membuat urutan tetapi tidak boleh menyambut kelahiran bayi.

“Mereka kalau mahu menyambut kelahiran bayi mesti berdaftar dan mendapatkan sijil terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, peratus kelahiran tidak selamat bagaimanapun menurun di negara ini, daripada 7.1 peratus pada 1990 kepada 1.3 peratus pada 2012 dan 0.42 peratus pada 2016 berbanding purata kelahiran antara 440,000 hingga 450,000 setahun.

Katanya, berdasarkan analisis laporan diterima, tiga faktor utama menyumbang kepada kelahiran tidak selamat iaitu tiada pengangkutan ke fasiliti kesihatan, jarak rumah yang jauh dari fasiliti kesihatan dan ramai juga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bersalin di rumah.

“Sejak 2014, peratus kelahiran tidak selamat akibat pengaruh aktiviti doula dalam kalangan kelahiran tidak selamat adalah kurang daripada 0.5 peratus.

“Bagaimanapun, berlaku peningkatan bilangan kelahiran tidak selamat yang membabitkan aktiviti doula di mana dua kelahiran dilaporkan masing-masing pada 2014 dan 2015.

“Bilangan ini meningkat kepada enam kelahiran pada 2016 dan tujuh kelahiran pada 2017. Akibat kelahiran tidak selamat membabitkan doula ini, tiga kematian bayi baru lahir dilaporkan iaitu satu kes masing-masing pada 2016, 2017 dan Januari 2018,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) sama ada Kementerian Kesihatan berhasrat mengiktiraf doula dengan kawalan undang-undang dan sejauh mana kaedah digunapakai dalam melaksanakan Seksyen 14 (1) Akta Bidan 1966, Dr Hilmi berkata, undang-undang sedia ada cukup jelas iaitu mereka yang boleh menyambut bayi mesti yang berdaftar.

“Kalau dia tak berdaftar maknanya salah. Jadi itu jelas, cuma ada pihak mengambil kesempatan, cara dia bercakap dia meyakinkan dan pujuk dan akhirnya termakan pujukan mereka dan bersalin di rumah.

“Nak bersalin di rumah, tak mengapa tetapi mesti ada bidan bertauliah untuk sambut (kelahiran bayi).

“Yang penting kita kena tengok risiko. Kalau risiko tinggi, memang kena bersalin di hospital. Doula cuma sebagai peneman kepada ibu mengandung,” katanya.

Sumber: MyMetro