Amaran Keras Norza Pada Jurulatih, Pemain


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi amaran akan mengambil tindakan keras terhadap pemain dan jurulatih dalam usaha untuk mengubah nasib skuad negara menjelang beberapa kejohanan besar tahun ini.

Selepas aksi hambar sejak kebelakangan ini, Norza, memberi peringatan kepada semua ketua jurulatih agar meningkatkan tahap prestasi pemain masing-masing dalam tempoh tiga bulan.

Ini bermakna pemain yang gagal meningkatkan prestasi akan digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Ahad lalu, Norza sudah tidak dapat membendung kemarahan terhadap pemain apabila memperagakan aksi buruk di Seluruh England sekali gus gagal mengulangi pencapaian tahun lalu apabila Datuk Lee Chong Wei muncul juara manakala gandingan beregu campuran bermain di pentas final.

Berikutan aksi buruk itu, Norza mengadakan mesyuarat tergempar bersama kesemua lima ketua jurulatih setiap bahagian hari ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk kembali memulihkan keadaan.

“Anda tahu saya memang sangat kecewa dengan prestasi pemain. Saya memanggil semua ketua jurulatih hari ini dan memberitahu mereka dalam tempoh tiga bulan, semua pemain harus menunjukkan peningkatan atau mereka akan disingkirkan.

“Saya juga memberitahu mereka aksi pemain ibarat seperti bayangan kepada jurulatih, jadi mereka harus melakukan sesuatu.

“Selain itu, saya juga menjemput wakil dari Program Podium (Tim Newenham) untuk menghadiri mesyuarat ini, jadi mereka mendapat gambaran yang jelas.

“Dalam masa sama, saya juga mengarahkan Jadadish Chandra (ahli Jawatankuasa Peraturan, Disiplin dan Integriti) untuk mencari satu mekanisme bagi memantau masalah disiplin pemain. Lebih kurang seperti pemerhati.

“Sedih melihat pemain pergi ke luar negara, kalah awal dan tanpa rasa bersalah, kemudian memuat naik gambar mereka sedang bergembira di laman sosial. Perkara ini harus dihentikan,” kata Norza ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Norza juga mendedahkan badan induk berkenaan membuat keputusan untuk memanggil semula bekas pemain negara Azriyn Ayub, Arif Latif dan Lim Khim Wah bagi tempoh percubaan selama tiga bulan, bagi memperkuatkan bahagian beregu lelaki.

Kehadiran pemain ini, menunjukkan pemain yang sedia ada tidak boleh mengambil mudah dan menganggap tempat mereka dalam BAM sudah terjamin.

“Kita juga bimbang dengan prestasi beregu lelaki, jadi kita memberi ruang buat pemain luar ini untuk berada dalam tempoh percubaan selama tiga bulan. Ini bermakna mereka juga berpeluang untuk disenaraikan dalam skuad Piala Thomas jika berjaya meyakinkan kita,” katanya.

Sumber: MyMetro