Amyra, Amar Letak Syarat Lantik Anaqi Jadi Duta


KUALA LUMPUR - Pasangan pelakon popular, Amyra Rosli dan Amar Baharin meletakkan syarat anak mereka, Aqeef Anaqi tidak perlu terbabit dalam mana-mana program turun padang untuk bertemu peminat sekiranya ditawar sebagai duta sesuatu produk.

Amyra, 27, berkata, mereka tidak akan menolak jika ada pihak yang mahu mengambil mereka sebagai duta produk dan turut serta dalam sesi promosi, tetapi syarat itu perlu dipatuhi.

“Kami memang hadir dengan satu pakej. Sekiranya kami perlu turun padang untuk sesi promosi atau sesi ramah mesra membabitkan ramai orang, Anaqi tidak perlu turut serta.

“Anaqi masih kecil dan baru berusia lima bulan. Saya tak boleh halang jika ada orang yang ingin mendekati dan memegangnya. Takkan saya nak cakap, jangan sentuh anak saya pula. Tentunya akan ada yang terasa hati, kan? Jadi, lebih mudah sekiranya saya tetapkan syarat begitu,” katanya.

Amyra berkata, sekiranya Anaqi perlu terbabit dalam sesi fotografi, biar ia sesuatu yang tidak membebankannya.

Sumber: MyMetro