Anak 'Dorong' Saharul Belajar Mengaji


KUALA LUMPUR - Pelakon, Saharul Ridzwan, menegaskan tindakannya memuatnaik video beliau mengikuti kelas mengaji bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya mengajak orang ramai sama-sama mendalami ilmu agama.

Saharul, 29, mengaku pada awalnya beliau takut untuk berkongsi video sedemikian, bimbang dikatakan riak.

"Begitupun, selepas dinasihati oleh guru saya, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, saya berani untuk berkongsi. Ustaz kata, saya mempunyai 2.6 juta pengikut di Instagram, jadi kenapa tidak menggunakannya untuk berkongsi ilmu?

"Mungkin ada satu peratus yang mengatakan saya menunjuk-nunjuk, selebihnya ramai yang memberikan reaksi positif. Perubahan saya ini pula bukanlah secara drastik. Saya sedang perlahan-lahan belajar," katanya.

Bukan sekadar dirinya, malah Saharul turut membawa isteri, Qaabila Deena Emir, dan anak mereka, Muhammad Luth Ali, 9 bulan, ke kelas terbabit.

"Ali suka mendengar Ustaz Tarmizi mengaji dan di rumah, dia akan senyap apabila mendengar laungan azan atau orang mengaji, termasuklah ketika menangis. Sebab itu saya terfikir nak bawa dia bersama ke kelas mengaji.

"Disebabkan anak kami juga saya mula belajar mengaji. Kisahnya, ketika saya bermain kad huruf jawi bersama Ali, saya terfikir bagaimana mahu mengajar anak jika bapanya sendiri pun kurang pandai?

"Dari situ saya terdetik untuk belajar mengaji dan alhamdulillah, Allah bukakan pintu hati saya," katanya kepada BH Online.

Saharul berkahwin dengan Deena pada 16 September 2016 dan dikurniakan cahaya mata pada 6 Jun tahun lalu.

Sementara itu, bercakap mengenai kerjaya lakonan, Saharul menafikan beliau menghilangkan diri dari arena terbabit.

"Saya masih aktif berlakon dan tidak pernah sunyi daripada aktiviti penggambaran.

"Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama, Dia Pengantinku. Hari ini pula saya sepatutnya mula memasuki set penggambaran drama untuk slot Akasia, Jangan Benci Cintaku. Bagaimanapun produksi Suhan Movies menangguhkan projek itu selama beberapa hari. Jun depan, insya-Allah saya berlakon filem pula.

"Alhamdulillah, rezeki saya masih ada. Pada masa sama, saya juga sibuk membangunkan syarikat sendiri, SR Empire, yang baru ditubuhkan awal tahun ini," katanya.

Menurut Saharul, perniagaan dalam bidang kosmetik itu adalah untuk jaminan masa depan dirinya sekeluarga.

Sumber: BH Online