PETALING JAYA: "Kalau ikutkan hati, memang saya nak padam posting itu selepas teruk dikecam netizen, tapi saya batalkan niat dengan harapan ia bermanfaat kepada ibu bapa lain," kata seorang usahawan yang tular gara-gara 'tragedi berdarah' di dalam kereta, melibatkan puteri kecilnya.
Nadila Mohamad yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, terdapat segelintir netizen yang mengecam dirinya kerana tidak meletakkan kedua-dua anaknya di dalam ‘carseat’, menyebabkan berlaku kemalangan di tempat duduk belakang keretanya.
"Sebenarnya, saya sudah latih anak-anak untuk duduk dalam 'carseat' tapi mereka berdua sangat 'hyper'.
"Mereka sangat lasak... saya dulu berisi sehingga menjadi kurus kerana melayan kerenah mereka," katanya kepada mStar Online pada Isnin.
Menurut wanita yang berusia 30 tahun itu, dia turut mengalami trauma dan jarang menaiki kereta selepas insiden itu yang berlaku malam Jumaat kerana takut ia akan berulang.
Enggan kejadian itu berlaku lagi, Nadila memberitahu dia sudah melindungi bahagian besi boleh laras pada tempat duduk kereta itu dengan objek lembut dan turut menutupnya menggunakan karpet kereta.
Kata Nadila, semasa kejadian, mereka sekeluarga sedang keluar bersiar-siar berhampiran kediaman mereka untuk ke Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu.
Pada Ahad mStar Online melaporkan, seorang ibu kepada sepasang cahaya mata, Nadila menceritakan pengalaman cemasnya berdepan 'tragedi berdarah' yang menimpa anak perempuannya, Putri Miqayla Medina Ahmad Farid, 2, agar dijadikan teladan bagi ibu bapa lain.
Bahagian kepala anaknya itu cedera dan 'berlubang' gara-gara terhantuk pada bahagian besi tersebut sehingga menyebabkan pakaian dan tapak tangan wanita terbabit dipenuhi darah.
Nadila dan suaminya terus membawa anak mereka ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan dan mendakwa si kecil itu disahkan oleh doktor tidak mengalami kecederaan serius.
Sumber – mStar