MEREKA bijak guna pengaruh media tersohor, wujud kumpulan kerja di belakang tabir untuk gerak ‘regime change’ giat serang Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.
Antaranya akhbar Wall Street Journal, New York Times, majalah The Times dan stesen Cable News Network yang diketahui memang dimiliki taikun Yahudi tertentu dan segala berita disiarkan adalah jelas bersifat pro-Zionis Israel.
Gandingan kumpulan yang terdiri daripada ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan media asing ini bekerja untuk memastikan kerajaan yang menjadi sasaran mereka tumbang dan boneka mereka mentadbir negara itu.
Ambil contoh operasi ‘guling’ allahyarham Presiden Saddam Hussein di Iraq, ahli politik Barat sanggup berbohong tentang kewujudan senjata pemusnah besar-besaran atau sering disebut weapon of mass destruction (WMD).
Dengan maklumat yang kononnya disalurkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA), selain beberapa NGO prodemokrasi melobi kerajaan asing masuk campur menggunakan media dimiliki mereka.
Semuanya bergerak seiring Saddam digulingkan dengan serangan pasukan tentera secara besar-besaran. Itu contoh paling ekstrem, bahkan ada juga kerajaan yang digulingkan melalui demonstrasi jalanan rakyat propembangkang.
Antaranya revolusi Arab Spring di Mesir menjatuhkan bekas presiden Hosni Mubarak sebelum merebak Tunisia serta separuh ketenteraan di Libya dan Syria dengan gelaran Salam Rabi’a atau empat jari dalam bahasa Arab.
Di Malaysia, ancaman gerakan jahat itu semakin jelas terasa terutamanya dengan penyebaran berita palsu berkaitan ‘penyelewengan’ 1MDB cuba dikaitkan konon melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Mereka berbohong secara tersusun dan besar-besaran dengan maklumat dan informasi palsu bagi mengolah persepsi minda masyarakat serta penyokong tegar mereka bahawa Najib telah berjaya menyalahgunakan kuasa.
Berikutan itu, Barisan Nasional (BN) menerusi Biro Penerangan UMNO kini mengatur gerak kerja bagi menangani berita palsu dan memerangi persepsi yang disebarkan pembangkang menerusi media sosial menjelang PRU ke-14.
Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa, berkata isu dihadapi bukan lagi stereotaip dan mudah diramalkan, sekali gus menuntut PRU ke-14 yang disifatkan sebagai ibu segala pilihan raya itu perlu diuruskan dengan cara unik.
“Cabaran dihadapi kini lebih kompleks, kita tidak boleh hendak agak dari segi masa dan apa cerita mahu direka. Kadang-kadang ada guna sumber luar negara atau agensi atau pihak tertentu yang seolah-olah berwibawa,” katanya.
Contohnya, beliau berkata ada portal berita kononnya tempatan tetapi sebenarnya adalah ejen media antarabangsa berpangkalan di luar negara, yang jelas mempunyai niat dan agenda jahat tersendiri untuk hancurkan kerajaan BN.
“Mereka pakar buat berita palsu, mereka beli dan sogok untuk dapat berita separa benar, kemudian putar, mereka ini pengguna media peringkat tinggi yang ada misi tertentu, bukan media yang lapor berita semata-mata,” katanya.
Annuar berkata, ia bukan lagi permainan pada peringkat tempatan, malah sudah menjadi bertaraf global dengan pihak yang berkepentingan bukan lagi berada di depan mata dan menambah kata, kerajaan akan menjadi mangsa.
Ia sekiranya UMNO tidak mempunyai ketahanan serta kaedah sesuai untuk menangkis perkara tersebut. Meskipun tidak sebut secara terperinci, Annuar jelas merujuk kepada portal Sarawak Report berpangkalan di London, Britain.
“Kita tidak boleh dedahkan apa yang kita buat, tetapi yang pastinya kita tidak mahu rakyat terpedaya… Rakyat perlu dapat sumber sahih walaupun ia mungkin agak lebih perlahan daripada penularan pantas berita palsu atau fitnah.
“Apa yang penting sumber sahih itu mesti diperoleh sebab sekarang ini amalan membina persepsi sudah menjadi strategi yang digunakan sepenuhnya oleh mereka yang hendak menjatuhkan pihak kerajaan,” kata Annuar.
“Di luar sana, bermacam-macam maklumat berlegar menerusi medium sosial seperti Facebook (FB), Instagram (IG) dan Twitter. Kita memberi tumpuan bagaimana untuk menyampaikan maklumat yang betul kepada mereka ini.
“Bagaimanapun kita tidak terlalu pesimistik. Di luar sana juga secara kebetulan ada ‘majoriti senyap’ yang memerhati bukan sahaja siang malam bermain FB atau kerjanya menyebarkan berita dan sebagainya.
“Masih ramai sebenarnya bijak menilai sesuatu berita, mereka baca apa yang ada dalam kumpulan WhatsApp dan FB tetapi mereka bukan orang mudah dipengaruhi dengan segera. Mereka boleh fikir sendiri dan cari maklumat.
“Sekarang ramai sudah faham, kalau dapat satu berita, mereka selidik untuk pastikan ia palsu atau benar, bukan dapat berita saja mudah terpedaya terus emosi. Kita anggap kebijaksanaan rakyat berfikir itu adalah aset,” katanya.
Menerusi persediaan rapi yang dilakukan sehingga kini, Annuar berkata, pihak jentera UMNO dan komponen BN menyasarkan kemenangan bergaya dengan meraih majoriti dua pertiga kerusi Dewan Rakyat pada PRU ke-14.
“Sasaran kita hendak menang semaksimum mungkin kerana kita mahu membentuk sebuah kerajaan yang cukup kuat. Rakyat juga malahan memerlukan sebuah kerajaan yang agak kuat dalam membentuk dasar negara.
“Kalau kita pilih kerajaan yang lepas PRU baru hendak bahagi jawatan Perdana Menteri, mahu pula kongsi-kongsi kau dua tahun aku pula dua tahun, itu kita sengaja terjun (cari masalah),” sinis Annuar menyindir Pakatan Harapan.
UMNO dan BN, katanya, sentiasa berusaha mengatasi persepsi, penipuan, kempen benci dengan penuh kesabaran, justeru parti itu yakin rakyat akan buat keputusan jujur semasa PRU nanti. - Kedahnews.com