KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merancang untuk mengadakan satu lagi aksi persahabatan antarabangsa buat Harimau Malaya pada 1 April ini sekali gus menyaksikan jadual Liga Super dan Liga Perdana terpaksa dipinda.
Keputusan itu mencetuskan rasa kurang senang peminat bola sepak tempatan dengan pindaan itu apabila mengkritik badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) membuat pindaan jadual sesuka hati.
Bagaimanapun Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi hari ini tampil mempertahankan keputusan dibuat bersama FMLLP itu.
"Seperti yang anda lihat, ada peminat bola sepak di media sosial yang tidak berpuas hati dengan pindaan perlawanan keenam dan ketujuh Liga Super 2018 yang sepatutnya berlangsung pada 30 dan 31 Mac serta 3 dan 4 April ke tarikh yang baharu selepas ia diumum oleh FMLLP.
"Ingin dinyatakan penangguhan itu disebabkan skuad Harimau Malaya akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A pada 1 April ini dalam usaha untuk memperbaiki ranking FIFA.
"Apabila tiada perlawanan antarabangsa dan ranking skuad negara jatuh, peminat mengkritik teruk.
"Sekarang apabila kita cari perlawanan tambahan untuk membaiki semula ranking pun peminat kritik juga. Jadi, apa sebenarnya yang mereka mahu?" katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi FAM semalam.
FMLLP sebelum ini memaklumkan jadual perlawanan keenam dan ketujuh Liga Super yang sepatutnya berlangsung pada 30 dan 31 Mac, 1 dan 4 April ditunda ke tarikh 5, 6, 10 dan 11 Jun.
Manakala bagi aksi Liga Perdana pada 29, 30 dan 31 Mac serta 2, 3 dan 4 April akan ditangguhkan ke 9, 10, 23 dan 24 April.
Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berdepan Mongolia pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini sebelum menentang Lubnan Selasa depan bagi perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia UAE 2019.
Bagaimanapun lawan yang akan ditemui pada satu lagi aksi persahabatan yang dirancang itu masih belum diketahui.
Sumber: BH Online