KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang mengadakan perbincangan dengan pembangun aplikasi navigasi percuma, Waze, untuk mempaparkan lokasi panas sering berlaku kemalangan jalan raya membabitkan kematian hidupan liar khususnya spesies terancam di negara ini.
Penolong Pengarah Bahagian Konservasi Biodiversitinya, Gilmoore G. Bolongon berkata usaha itu adalah salah satu strategi jangka panjang jabatan itu untuk melindungi hidupan liar.
“ Terdapat pola di mana kemalangan jalan raya sering terjadi yang memberi kesan kepada spesies terancam ini. Kami mempunyai pangkalan data mengenai lokasi di mana insiden seperi ini sering berlaku.
“Oleh itu, kami sedang melakukan usaha untuk mengelak kejadian seperti ini. Kami cuba meminta pembangun Waze mempaparkan kawasan panas pada aplikasinya agar orang ramai mengenali kawasan tersebut dan memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas sesi penerangan dan tayangan dokumentari mengenai harimau, ‘Big Cats-Teh Tarik’, di Petrosains di sini, malam semalam.
Menurutnya, Lebuhraya Pantai Timur II (LPT2), menghubungkan Kuala Terengganu-Jabor, merupakan kawasan yang mencatatkan kes kemalangan tinggi membabitkan haiwan liar.
Dilaporkan nyawa hidupan liar kian terancam kerana LPT2 dibina merentasi beberapa hutan simpanan yang menjadi habitat hidupan liar tanpa peruntukan untuk mewujudkan lintasan kehidupan liar dan ini menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi khususnya spesies terancam seperti tapir, beruang matahari dan harimau.
Mengenai taklimat beliau pada sesi ‘Big cats-Teh Tarik’, Gilmoore berkata hasil kaji selidik jabatan itu dari 2010 hingga 2015, mendapati populasi harimau di Malaysia dianggarkan antara 250 hingga 300 ekor dan rekod kemas kini seterusnya adalah pada 2020.
“Berdasarkan bilangan populasi haiwan berkenaan di dunia, jumlah bilangannya menurun tetapi tidak dipasti berapa pesatnya kadar penurunannya,” katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh membantu dengan memaklumkan kepada pihaknya insiden kematian hidupan liar akibat kemalangan jalan raya dengan kadar segera.
“Pandangan perbadi saya jika orang ramai berdepan dengan situasi seperti itu, mereka boleh memaklumkan kepada kami dengan segera dan jika mereka tidak dapat menunggu sehingga kami tiba di lokasi, mereka boleh menyembunyikan bangkai haiwan dan memberitahu lokasi kepada kami,”katanya.
Ini bertujuan mengelak bangkai haiwan liar diperlakukan sewenang-wenangnya atau bahagian-bahagian tertentu diperdagangkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan, katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia (Rimba) dan koordinator Projek ‘Harimau Selamanya’ . Akmal Arif Mohd Razali berkata salah satu langkah mengurangkan kadar kemalangan membabitkan hidupan liar ialah menempatkan kamera perangkap laju di kawasan populasi haiwan liar di lebuh raya.
“Saya percaya dengan memasang kamera perangkap laju, pemandu lebih peka apabila melalui sesuatu kawasan kehadiran hidupan liar dan mampu memberhentikan kenderaan jika melihat haiwan liar menceroboh kawasan untuk melintas atau merayau di tepi lebuh raya,” katanya. – Bernama