Atok Sesat, Nyanyuk Pandu Kereta Lawan Arus Nak Balik Sungai Petani


ALOR SETAR - Dipercayai akibat masalah nyanyuk, seorang warga emas ditahan pihak polis kerana disyaki memandu kereta secara melawan arus, di kawasan rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di Pulau Pinang, kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Nor berkata, warga emas yang berusia 76 tahun itu dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Ria Murni menghala ke Taman Intan, Sungai Petani, Kedah.

Suspek kemudian tersesat akibat tidak ingat laluan dan menuju hingga ke kawasan BORR sebelum berpatah balik menghala ke Perai, Pulau Pinang secara melawan arus.

Aksi tersebut berjaya dirakan dan videonya tular di laman sosial, sejak petang kelmarin.

"Berdasarkan pergerakan dipaparkan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) konsesi BORR, suspek dikatakan memandu secara melawan arus dari Kilometer (KM) 7.45 lebuh raya berkenaan.

"Rakaman suspek melawan arus hanya dapat dikenal pasti dari KM 7.45 dan KM 3 - Jambatan Perai. Bagaimanapun, lokasi sebenar dia membuat pusingan U tidak dapat dipastikan kerana tiada maklumat diperoleh daripada plaza Tol Bagan Ajam.

"Suspek kemudian memberhentikan keretanya ketika tiba di Tol Perai, sebelum dia dipukul sekumpulan penunggang motosikal dengan kes pergaduhan itu disiasat polis di Daerah Seberang Perai Tengah," katanya dalam kenyataan.

Menurut Noorzainy, semakan terhadap suspek mendapati dia tidak memiliki sebarang rekod saman trafik, selain turut dibawa ke Hospital Seberang Jaya bagi menjalani beberapa ujian berkaitan.

"Suspek menjalani ujian CT scan bagi mengenal pasti kesahihan penyakit pelupa atau nyanyuk, selain sampel darahnya turut diambil untuk ujian alkohol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Kedahnews.com