ANEH… Seekor ayam tanpa kepala bertahan hidup selama lebih seminggu dan kini dijaga oleh seorang doktor haiwan yang turut menggelarkannya sebagai ‘pejuang sejati’.
Ayam tersebut ditemui penduduk di Mueang Ratchaburi, wilayah Ratchaburi, di tengah Thailand bersempadan Myanmar di bahagian baratnya dan hanya kira-kira 100 kilometer dari ibu kota Bangkok.
Menurut media tempatan, doktor haiwan tersebut yang dikenali sebagai Dr. Supakadee Arun Thong, kemudian terpaksa memberikan ayam itu makanan dengan menerusi saluran lehernya.
Tidak hanya itu, beliau juga memberikan antibiotik kepada ayam tersebut. Doktor wanita itu mengetahui keadaan ayam tersebut setelah melihatnya dari foto-foto yang tular bersebar luas di media sosial.
Foto yang dikongsi ramai netizen tempatan tersebut menunjukkan si ayam berkenaan masih lagi tegak berdiri meskipun kepalanya sudah hilang tetapi keadaannya berlumuran darah.
Belum jelas lagi bagaimana ayam tersebut hilang kepalanya tetapi penduduk kampung percaya ia mungkin sudah diserang haiwan liar lain namun nyawanya masih tetap terselamat.
Supakadee dalam pada itu memberitahu pihak media bahawa beliau berharap agar orang lain pula dapat menjaga ayam berkenaan untuk meneruskan sisa kehidupan sebelum mati.
“Siapa yang akan mengambil dan menjaganya? Ayam ini memerlukan jagaan jangka panjang. Saya akui ia memiliki keinginan untuk hidup, pejuang sejati dengan hati yang cekal,” kata beliau.
Setakat ini rekod ayam yang paling lama hidup tanpa kepalanya, dipercayai bernama Mike, bertahan selama 18 bulan di Utah, Amerika Syarikat dari 1945 hingga 1947. – Agensi