Azizulhasni Mahu Segera Pulih Untuk Sukan Komanwel


SEPANG - Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang mahu melupakan kekecewaan dalam Kejohanan Trek Dunia UCI di Apeldoorn, Belanda, Jumaat lalu, untuk segera bangkit mempersiapkan diri ke Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, bulan depan.

Masalah kesihatan telah membelenggu pelumba berusia 30 tahun itu ketika beliau berusaha untuk mempertahankan 'Jersi Pelangi' selaku juara dunia dalam acara kegemarannya, keirin.

"Hanya lebih kurang sebulan sahaja lagi untuk melakukan persiapan terakhir untuk menghadapi Sukan Komanwel. Saya harap dalam tempoh itu, masalah jangkitan virus dapat pulih sepenuhnya dan saya dapat terus menjalani latihan," katanya kepada Bernama sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Menurutnya, minggu pertama sekembali dari Kejohanan Trek Dunia itu adalah untuk proses pemulihan dan latihan akan diadakan pada minggu berikutnya.

"Kami (semua pelumba trek) akan menjalani latihan di Nilai (Velodrom Nasional) sebelum berlepas keBrisbane, Australia, pada 29 Mac ini," katanya.

Sumber: Awani