Azrin Dakwa Mukhriz Pembohong


Ketua SCL Group Asia Tenggara, Azrin Zizal mendakwa Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai pembohong dan meminta bekas Menteri Besar Kedah itu berhenti memutarbelitkan fakta untuk menyelamatkan dirinya supaya kelihatan bersih

Azrin menjelaskan  beliau masih bekerja dengan  secara peribadi dan memberikan nasihat komunikasi dan strategi sehingga tahun 2015 kepada Mukhriz.

Khidmat itu termasuk semasa Pilihan Raya Umum 2013 dan semasa Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah.

“Mukhriz berkata saya hanya pegawai medianya sehingga tahun 2013 dan saya tidak lagi bekerja untuknya apabila beliau menjadi Menteri Besar Kedah. Tetapi perkara ini benar-benar palsu, " katanya dalam satu kenyataan semalam..

 “Saya bekerja untuk Mukhriz secara peribadi dan memberikan nasihat komunikasi dan strategi untuknya sehingga 2015, termasuk semasa Pilihan Raya Umum 2013 dan seterusnya ketika beliau menjadi Menteri Besar, " ujarnya lagi.

Azrin berkata beliau akan berikan bukti jika Mukhriz yang kini  Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  terus memalsukan kebenaran.

Menurut Azrin khidmat nasihat pada Pilihan Raya 2013 untuk Kedah disediakan kepada Mukhriz secara peribadi.

Azrin membuat kenyataan itu selepas Mukhriz menafikan penglibatannya dengan firma perunding politik CA.

Menerusi Twitter beliau, Mukhriz memberitahu, Azrin hanya menjadi pegawai medianya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 2009 hingga 2013.

Mukhriz juga menafikan Azrin tidak diambil bekerja dengannya sebagai wakil SCL Group atau CA dan bukan lagi pegawai medianya semasa menjadi Menteri Besar.

Kemungkinan Mukhriz cuba menafikan tugasnya dan manfaat yang telah beliau peroleh daripada nasihat kepadanya dari Cambridge Analytica/ SCL Group untuk Kedah pada Pilihan Raya Umum 2013, kata Azrin.

Mukhriz  juga menidakkan kejayaan Kedah memenangi enam kerusi tambahan parlimen, memenangi negeri itu dan menjadi menteri besar.

Dalam kenyataan itu, Azrin turut menolak dakwaan CA bekerja untuk Barisan Nasional.

“Tidak pernah ada CA atau induk SCL Group yang pernah bekerja atau dibayar oleh BN atau mana-mana bahagian dalam Kerajaan Malaysia,” tegasnya.

Isu bantuan CA dicetuskan oleh Timbalan Pengerusi Strategi dan Dasar PPBM, Wan Saiful Wan Jan yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan jika benar BN menggunakan khidmat CA pada Pilihan Raya 2013.

Gesaan itu dibuat selepas laman web CA Political mendakwa firma itu pernah membantu Najib menawan Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13. - Kedahnews.com