Bagi Upah Pada Ibu Bapa Yang Jaga Cucu


SHAH ALAM - Mana-mana individu yang mahu ibu atau ibu mertua menjaga anak mereka harus memberikan upah menjaga.

Demikian pandangan pendakwah, Ustaz Amly Asenar berkenaan pertanyaan ramai mengenai perlu atau tidak memberi upah kepada ibu yang menjaga anak mereka.

Kata beliau, ada sesetengah individu yang menghantar anaknya kepada ibu supaya menjaga tetapi langsung tidak menghulurkan sebarang upah dan ada pula sebaliknya.

"Ibu juga adalah manusia biasa, memanglah tak minta tapi mana ada benda percuma dalam dunia ini.

"Tambahan pula, apabila menjaga cucu banyak perkara yang agak terabai kerana tumpuan diberikan kepada si kecil," katanya kepada Sinar Harian.

 Menurutnya, ibu pula jika tidak ada sebarang tuntutan diharuskan untuk menghulurkan pertolongan jika anak mereka memerlukan bantuan.

Namun katanya, anak-anak perlu prihatin kerana ia boleh jadi berdosa jika sampai menyusahkan mereka.

"Langsung tidak salah untuk meminta bantuan daripada mereka tetapi kena peka dengan situasi mereka.

"Si anak tidak sepatutnya memaksa ibu atau ibu mertua menjaga cucu sehingga mengganggu urusan harian mereka untuk ke surau atau mengikuti kelas agama," katanya lagi.

Menurutnya, sebaiknya jaga sendiri atau cari pengasuh terlebih dahulu dan jika tidak ada barulah cari mereka.

Katanya lagi, harus diingat ibu bapa bukan tugasnya menjaga cucu selamanya.

Kemusykilan agama

Benarkah dosa mengumpat lebih besar daripada dosa berzina?

Memang benar dosa mengumpat lebih besar dari-pada dosa zina. Ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang maksudnya; “Jauhilah dari mengumpat kerana mengumpat itu lebih besar dosanya

dari berzina,” lantas seorang sahabat bertanya,” Kenapa ya Rasulullah?” jawab baginda,” Kerana sesungguhnya seorang lelaki yang berzina kemudian bertaubat maka Allah menerima taubatnya.

Sesungguhnya orang yang mengumpat tidak diampuni dosanya kalau yang kena umpat tidak memaafkannya.

Selain daripada hadis di atas masih banyak lagi dalil yang menyatakan bahawa mengumpat itu berdosa besar.

Di antara dalil tersebut termasuklah firman Allah S.W.T. dalam surah al-Hujarat ayat 12 yang bermaksud; “Janganlah mengumpat setengah-setengah daripada kamu akan setengah-setengah yang lain. Adakah kamu suka memakan daging saudaramu selepas mati?,

Oleh itu hindarilah daripada sifat suka mengumpat agar terlepas dari dosa yang amat berat itu.

SUMBER: 600 Jawapan Kemusykilan Agama Jilid 2, Karya Bestari Sdn Bhd