Bank Rakyat Peruntuk RM9.6 Juta Jayakan 900 Program Pendidikan


ALOR SETAR - Yayasan Bank Rakyat memperuntukkan RM9.6 juta pada tahun ini bagi menjayakan kira-kira 900 program pembangunan pendidikan, modal insan serta sahsiah dan kerohanian yang dijangka memberi manfaat kepada 100,000 individu.

Menurut Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin berkata, jumlah itu menunjukkan penambahan peruntukan sebanyak RM3 juta berbanding tahun lalu berjumlah RM6.6 juta.

Jelas beliau, pihaknya pada tahun ini memberi peruntukan terbesar bagi melaksanakan program ‘Community Heroes’.

“Kita memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk melaksanakan program ‘Community Heroes’ bagi menggalak keterlibatan pelajar dengan masyarakat serta semangat sukarelawan sebagai usaha memupuk jiwa prihatin dalam kalangan generasi muda.

“Program ini terbuka kepada semua mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi,” katanya selepas Majlis Penyampaian Program Bantuan Persekolahan dan Tuisyen Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Gurun, di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyempurnakan penyerahan simbolik bantuan persekolahan membabitkan 250 murid dan pelancaran tuisyen rakyat kepada 10 wakil sekolah di Parlimen tersebut.

Sekolah yang terpilih untuk program tuisyen rakyat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Chempedak, Gurun, Sri Jerai, Batu Empat, Jeniang, Padang Lumut, Dulang, Ulu Sedaka, Nyak Gam dan Yan Kechil.

Pada masa sama, Norashikin ketika berucap memberitahu, seramai 250 murid yang menerima bantuan persekolah di Parlimen Jerai mendapat sumbangan berbentuk akaun simpanan Bank Rakyat berjumlah RM100 setiap seorang.

“Pembukaan akaun simpanan tersebut diharap dapat memupuk sikap suka menabung dan berjimat cermat di peringkat awal lagi.

“Biarpun kecil tapi simpanan tetap secara konsosten akan menetapi kata bidalan ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.’ Di sini peranan Bank Rakyat sebagai tempat penyimpanan wang yang selamat dan hasil tabungan boleh digunakan untuk keperluan masa depan,” ujarnya memetik Utusan Online. - Kedahnews.com