Bekas Kakitangan Dedah Rahsia PPIM Jana Untung Hasil Bayaran Peminjam Ah Long


KUALA LUMPUR – Empat bekas kakitangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan modus operandi dijalankan unit tindakan khas (UTK) persatuan itu yang didakwa menjana keuntungan hasil bayaran peminjam ah long.

Tindakan dianggap menganiaya pihak teraniaya itu disifatkan kejam apabila caj yang dikenakan kepada pengadu yang juga mangsa ah long, melebihi daripada jumlah sebenar bayaran dibuat kepada ah long.

Meskipun mengenakan caj 10 peratus daripada jumlah hutang, masih terdapat sejumlah caj lain yang didakwa melebihi daripada bayaran sepatutnya.

Wakil kumpulan itu, Syed Alwi Al Hadad Syed Mustaffa mendakwa, perkara itu diketahui menerusi fail sulit operasi unit berkenaan dalam menjalankan urusan mengendalikan kes-kes melibatkan mangsa ah long.

Syed Alwi mendedahkan bagaimana kes seorang wanita sebelum ini yang perlu membayar RM350,000 dan caj pentadbiran RM35,000 namun jumlah yang ditetapkan dengan ah long hanya RM160,000.

“Walhal pengadu itu telah membuat pembayaran berjumlah RM260,000 melibatkan seramai 64 ah long. Jika diikutkan bayaran kepada ah long sepatutnya telah dijelaskan tetapi tidak berlaku menyebabkan pengadu terus diganggu.

“Perkara ini yang menyebabkan pengadu tampil mempersoalkan kepada kepada UTK dan mohon cara baik mengembalikan wangnya tetapi tidak dapat.

“Akhirnya saya sendiri bongkarkan keadaan sebenar demi mengembalikan hak pengadu. Pada saya ini satu penindasan tersembunyi dan tidak boleh dibiarkan,”katanya.

Beliau bersama tiga kakitangan yang lain iaitu Muhammad Fadhrul Yusoff, Mohd. Aliff Muhammad Iberahim dan Sairil Tuah hadir pada sidang media untuk membersih nama selepas Pengarah UTK PPIM, Yusuf Azmi membuat laporan ke atas mereka pada Isnin lalu.

Dalam laporannya itu, individu-individu terbabit telah mencuri dokumen-dokumen penting berkaitan ah long dan peribadi di syarikat konsultan PPIM yang diketuai Yusuf dengan cara menceroboh pejabat tersebut.

Yusuf turut mendakwa menjadi mangsa fitnah empat orang kakitangannya yang dikatakan mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan imej dan maruahnya pada pandangan mata masyarakat.

Mengulas lanjut, Syed Alwi Al Hadad menafikan mereka membawa lari fail-fail pengadu sebaliknya fail tersebut masih ada di pejabat PPIM.

“Saya tidak dihantar untuk sabotaj siapa-siapa. Pada saya kezaliman ini perlu diperjuangkan dan saya akan terus menuntut hak melibatkan beberapa kes lain, ke peringkat yang sewajarnya.

“Saya akui dia pernah menolong saya dan keluarga yang kononnya berjumlah RM25,000 tetapi sebenarnya tidak sampai jumlah itu. Tapi ia bukan harga untuk saya bersubahat dengannya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fadhrul, berkata satu laporan polis telah dibuat kerana menerima ancaman dan ugutan selepas kes wanita itu terbongkar.

Ujarnya dia menafikan segala tuduhan dibuat terhadapnya berkaitan bayaran wang kepada ah long  dan melarikan fail serta resit bayaran.

“Lapan bulan saya kerja dengan Yusuf dan saya ada bukti keuntungan hasil daripada bayaran pinjaman ah long. Saya yang ‘locked’ ah long untuk bayar berapa jumlah pinjaman, pengadu bayar pada saya atau Sairil kami serah pada bos. Tetapi tidak dibayar sepenuhnya.

“Ada kes saya ‘locked’ sehingga peminjam tidak perlu bayar pun dengan ah long tetapi peminjam didesak untuk bayar dan tidak termasuk caj pentadbiran. Saya sedia beri kerjasama kepada pihak polis kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Namun kes ini tiada kaitan dengan Datuk Nadzim Johan (Ketua Aktivis) dan PPIM Keramat,” katanya.

Minggu lalu, seorang wanita menuntut PPIM membayar semula wang pinjaman ah long yang dibuat kepada persatuan itu berjumlah RM160,000.

Wanita berkenaan yang bekerja di sektor swasta mendakwa, sejak Disember tahun lalu dia sudah membuat empat pembayaran sebanyak RM250,000 kepada PPIM yang menjadi orang tengah mengendalikan urusan pinjaman kepada ah long.

Bagaimanapun, pekerja sektor swasta itu mendakwa dia mula berasa musykil sejak Januari lalu selepas sukar mendapat resit pembayaran daripada PPIM.

Hasil siasatannya, dia menemui bukti transaksi PPIM kepada ah long hanya baru RM90,000.

PPIM dalam satu kenyataan menjelaskan kes aduan wanita yang mendakwa persatuan tidak telus menguruskan bayaran pinjamannya kepada ah long di bawah kendalian Risk Group Consultancy.

Jelasnya, konsultan itu diuruskan oleh Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi.

Sumber: Suara tv