Bendera UMNO Terbalik Di Kuala Kedah Gambar Lama


ALOR SETAR - Tular di laman sosial Facebook sejak kelmarin menunjukkan sekeping gambar bendera UMNO dipasang secara terbalik sekitar Kuala Kedah dipercayai adalah gambar lama.

Hasil tinjauan disekitar kawasan yang dimaksudkan mendapati, tiada sebarang bendera diletakkan di pengadang jalan berdekatan Masjid India Kuala Kedah atau papan tanda arah ke Kota Kuala Kedah seperti yang menjadi tular.

Sementara itu, Penyelaras Dun Kubang Rotan, Datuk Abdul Muthalib Harun berkata, dipercayai bahawa gambar bendera terbalik itu adalah gambar lama yang dikatakan berlaku kira-kira dua tahun lepas.

“Saya ingin jelaskan bahawa gambar itu bukanlah gambar baharu. Sebaliknya, bendera terbalik itu dipasang pada 2016 oleh individu tertentu semasa Datuk Seri Mukhriz Mahathir meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

“Apabila tular, kita turun siasat sama ada betul ataupun tidak. Bagaimanapun, tiada bendera terbalik dipasang.

"Kita rasa ada pihak tertentu sengaja menularkan semula gambar lama itu,” katanya.

Abdul Muthalib menegaskan bahawa pihaknya kesal dengan segala tuduhan dan penularan gambar lama dan tindakan pihak tertentu memuat naik semula gambar berkenaan dilihat sebagai berniat jahat dan mahu melaga-lagakan rakyat disitu.

Dalam pada itu, pihaknya yakin taktik tersebut sengaja digunakan bagi menjejaskan pengaruh penduduk tetapi malangnya ia tidak memberi kesan kepada kawasan yang menjadi kubu kuat BN itu.

Seorang penduduk, Suwandi Abu Bakar mendakwa, dia ada membuat tinjauan di kawasan yang dimaksudkan setelah menyedari gambar bendera terbalik itu menjadi tular.

Menurut Suwandi, dia mendapati tiada sebarang bendera BN yang diterbalikkan di beberapa kawasan terlibat seperti ditularkan sebelum ini.

“Saya rasa gambar bendera terbalik sengaja ditimbulkan semula oleh pihak tertentu, memandangkan PRU14 akan menjelma tidak lama lagi,” katanya. - Kedahnews.com