LUMRAH sebagai seorang artis atau figura awam, adakalanya pasti perlu menghadapi ‘perangai’ manusia-manusia yang mempunyai terlalu banyak masa terluang membuka akaun media sosial menggunakan nama mereka.
Lebih membimbangkan, entri yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab ini mampu menimbulkan persoalan dan memburukkan nama artis yang tidak mempunyai apa-apa peranan dalam perkara dilakukan.
Perkara ini terpaksa dilalui pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof yang nyata berang selepas ada pihak tidak bertanggungjawab mewujudkan akaun Facebook palsu menggunakan namanya.
Bukan itu sahaja, individu yang mengawal akaun berkenaan bertindak membuat kenyataan kontroversi berhubung isu politik yang jelas bukan dikeluarkan Syamsul.
Melalui akaun Instagramnya, Syamsul meminta netizen untuk tidak mempercayai fitnah yang ditimbulkan akaun berkenaan yang mengaitkan namanya dengan isu politik.
Malah, pelakon KL Special Force itu menegaskan perkara tersebut sebagai tidak benar sama sekali serta turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama perkara ini berlaku.
“Sekali lagi nama saya disalahguna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Facebook. Sebelum ini pun dah banyak kali dah, kali ini guna akaun palsu atas nama saya untuk buat kenyataan politik pula.
“Anda jangan mudah percaya dengan fitnah yang mengaitkan nama saya ni dalam isu politik atau apa sahaja. Jangan mudah percaya sebab ramai buat akaun palsu Syamsul Yusof,” tulisnya.
Tambah Syamsul, dia sememangnya tidak mempunyai sebarang akaun Facebook peribadi dan hanya mempunyai akaun peminat yang bukan diuruskan olehnya.
“Saya tiada langsung akaun Facebook peribadi. Saya cuma ada Facebook untuk peminat sahaja. Itu pun admin yang jaga. Jadi berhati-hati selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Syamsul turut menegaskan bahawa dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang bertanggungjawab sekiranya isu ini berterusan memandangkan perkara tersebut memburukkan namanya.
“Jangan paksa saya untuk ambil tindakan undang-undang. Berhenti menyamar, salah guna nama saya di media sosial,” tulisnya lagi.
Tinjauan di laman Facebook mendapati terlalu banyak akaun palsu yang menyamar sebagai Syamsul dan beberapa darinya dilihat aktif membuat perkongsian memuat naik gambar yang diambil dari Instagram pelakon tersebut.
Tidak hairanlah jika para netizen menganggap akaun-akaun palsu ini sebagai Syamsul sendiri sekiranya tidak mengetahui fakta sebenar.
Apa-apa pun, diminta orang ramai lebih berhati-hati dan membuat kajian dahulu sebelum menyebarkan sesuatu perkara tiada bukti kesahihannya. - Kedahnews.com