Bersediakah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon maaf kerana memfitnah Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim?
Abduk Azeez memberi tempoh empat hari kepada Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP untuk meinta maaf secara terbuka kepadanya selepas Konsortium Zenith, pemaju yang terlibat dalam projek terowong dasar laut memohon maaf dan menarik balik tuntutan terhadap Abdul Azeez dua hari lepas..
Guan Eng dituntut menarik balik semua kenyataan fitnahnya yang mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, perkara itu antara kandungan surat tuntutan yang sudah dihantar ke pejabat Guan Eng serta rumahnya di Jalan Pinhorn di Jelutong, Pulau Pinang, petang semalam.
"Saya beri tempoh empat hari untuk Guan Eng mohon maaf secara terbuka di semua media arus perdana, menarik balik kenyataan fitnah dan berjanji untuk tidak mengulangi dakwaan sama terhadap saya.
"Saya juga menuntut Guan Eng mendedahkan sumber maklumat mengenai surat peguam yang dihantar oleh Konsortium Zenith pada 23 Februari lalu dan tersebar pada 24 Februari, sedangkan saya hanya terima surat itu pada petang 28 Februari.
"Jika semua tuntutan ini tidak dipatuhi, saya akan meneruskan tindakan saman fitnah minggu depan. Ini bukan semata-mata kerana cuba main-main dengan Azeez Rahim, tapi kerana Guan Eng turut mengaitkan UMNO dan Tabung Haji dalam isu ini," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Sebelum Guan Eng dilaporkan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Abdul Azeez yang didakwa menerima bayaran RM3 juta.
Guan Eng juga menuding jari kepada SPRM dan mendakwa agensi itu 'pilih kasih' kerana tidak menyiasat Abdul Azeez yang juga Pengerusi Tabung Haji dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
.
"Malam tadi, TV3 tunjuk Guan Eng tayang wajah saya seperti saya seorang penjenayah besar minta SPRM tahan saya, dan tanya adakah alasan mereka tak tahan saya kerana saya Ahli Parlimen UMNO Baling.
"Jangan kaitkan Tabung Haji yang memiliki sembilan juta pendeposit dan UMNO yang memiliki tiga juta ahli Tabung Haji, " kata Abdul Azeez.
Menurut Abdul Azeez beliau terima 800 panggilan sejak semalam hingga pagi tadi selepas dakwaan Guan Eng disiarkan di TV3.
"Saya ingin menegaskan bahawa saya tiada kena mengena dengan Konsortium Zenith,"kata Abdul Azeez. - Kedahnews.com