Binaan Haram Dirobohkan Di Alor Setar


ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan struktur binaan haram di tanah kerajaan di Taman Darat, di sini, dalam satu operasi, kelmarin.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MBAS, Abdul Ghani Osman berkata, struktur binaan tanpa kebenaran atas tanah lapang dikesan sejak tiga tahun lepas.

“Kita telah beri tiga notis kepada penghuni sejak 2016 berkaitan binaan pagar berukuran 800 kaki persegi di tapak berkenaan.

“Namun, kita terpaksa mengambil tindakan merobohkan struktur binaan terbabit dipercayai digunakan sebagai tempat meletakkan lori kilang apabila pemilik masih berdegil,” katanya.

Menurutnya, tindakan berkenaan diambil mengikut Seksyen 31 Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Terdahulu, seramai 45 kakitangan MBAS dari pelbagai jabatan terlibat dalam operasi kira-kira dua jam bermula 9 pagi itu.

Sumber: Sinar