KANGAR - UMNO Perlis sudah bersiap sedia sejak lima tahun lalu lagi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata gerak kerja UMNO dan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri ini sudah bersedia berhadapan PRU pada bila-bila masa.
"Pemberita sendiri tahu..boleh lihat sendiri sama ada BN di Perlis ini sudah bersedia atau belum. Kita bertungkus-lumus sudah lima tahun, jadi kita sudah bersiap sedia menghadapinya.
"Gerak kerja sudah selesai...jumpa pengundi, buat kerja kebajikan pun dah selesai dan ketika ini, kita berinteraksi dengan rakyat atas dasar silatulrahim," katanya, malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan bersama Wanita UMNO Bahagian Kangar dan Padang Besar, di Dewan Warisan, di sini.
NSTP sebelum ini melaporkan, Parlimen dijangka dibubarkan lebih awal iaitu pada 19 Mac atau selewat-lewatnya 26 Mac bagi membolehkan PRU-14 diadakan.
Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semua Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 19 Mac atau 26 Mac, sebaik berakhirnya perbahasan usul menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mohammad V, yang sedang berjalan ketika ini.
Shahidan terdahulu memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan mengadakan lawatan kerja di Perlis, esok dan melancarkan gerak kerja pilihan raya Perlis di Dewan 2020.
Sumber: BH Online