ALOR GAJAH – Pembangkang sering memomokkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai ‘dedak’ bagi menarik sokongan rakyat, namun realitinya bantuan tersebut memainkan peranan penting sebagai nadi penyambung kehidupan rakyat.
Orang ramai yang ditemu bual Bernama pada Majlis Penyerahan BR1M 2018 Parlimen Tangga Batu di Paya Rumput di sini hari ini berpendapat bantuan diperkenalkan sejak 2012 itu merupakan inisiatif yang mencerminkan keprihatinan kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) membantu mereka meneruskan kehidupan terutama ketika berdepan kos sara hidup.
Seorang warga emas, Jantan Dalit, 69, menyifatkan pemberian BR1M sebanyak RM400 diterimanya adalah penyelamat bagi membaiki basikal antik kesayangan miliknya yang digunakan dalam urusan seharian dan selain membantu perbelanjaan hariannya.
Bapa kepada enam anak itu berkata memandangkan basikal yang digunakan sejak 20 tahun itu merupakan kenderaan utama untuk ke sesuatu destinasi, bantuan BR1M itu sedikit sebanyak dapat membantu dalam perbelanjaan menukar alat ganti dan penyelenggaraan basikal usangnya.
“Bagi orang lain, jumlah RM400 mungkin tidak seberapa namun saya bersyukur kerana saya tidak mempunyai pencen dan jumlah tersebut sudah memadai serta banyak membantu menangani kos sara hidup yang kian meningkat,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Pada majlis itu, kira-kira 600 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Sungai Udang, Klebang dan Pantai Kundor menerima BR1M.
Jantan yang merupakan bekas pekerja pasar borong di Taman Merdeka berkata, pemberian BR1M juga amat bermakna kerana dia sangat mengharapkan bantuan itu untuk membeli ubat ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot kebelakangan ini.
Beliau yang menetap di Krubong sanggup mengayuh basikal kesayangannya ke Paya Rumput sejauh kira-kira tujuh kilometer itu berkata bantuan BR1M membuktikan kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan warga emas.
Sementara itu, bagi seorang ibu tunggal, Jumaah Che Mat, 64, pemberian BR1M perlu dipertahankan dan diteruskan kerana masih ramai rakyat di negara ini yang memerlukan bantuan berkenaan, malah inisiatif kerajaan itu bukan sahaja diperlukan oleh golongan warga emas, bahkan juga orang kurang upaya (OKU).
“Saya berharap pemberian ini akan berterusan walaupun terdapat segelintir yang tidak menyokong dan melontarkan pelbagai kata-kata negatif termasuk (menyifatkannya sebagai) dedak. Orang macam saya ini dah tak ada tempat bergantung, dengan bantuan BR1M dapatlah menampung sedikit bebanan,” katanya.
Ibu tujuh anak itu hanya mampu duduk di kerusi roda selepas hampir enam tahun tidak dapat berjalan kerana kaki kirinya terpaksa dipotong hingga ke paras paha akibat penyakit kencing manis.
“Dulu saya berniaga kuih di Kampung Bukit Darat. Tetapi selepas kaki dipotong terpaksalah berhenti berniaga. Badan pun dah lemah, syukur alhamdulillah kerajaan bagi BR1M, dapatlah saya membeli susu dan keperluan harian,” kata Jumaah.
Dalam pada itu, seorang pemandu lori, Muhammad Helmy Ujak, 25, penerima BR1M sebanyak RM450 menyifatkan inisiatif kerajaan itu amat dinanti-nantikan oleh rakyat yang memerlukan bagi meringankan beban kos sara hidup.
“Kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan muda seperti kami dengan meneruskan pemberian bantuan tanpa mengira umur. Walaupun bagi sesetengah orang bantuan yang diberikan ini hanya sedikit, namun amat bermakna bagi kami…dengan duit ini juga saya gunakan untuk waktu-waktu kecemasan seperti memperbaharui cukai jalan dan modal untuk ke tempat kerja,” katanya. – BERNAMA