Bukan Denda Berat, Kejam - FMLLP


KUALA LUMPUR - Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menegaskan denda yang dikenakan kepada 10 pasukan gara-gara kegagalan mereka melengkapkan dokumen pendaftaran Liga Malaysia (Liga M) musim 2018, tidak berat dan kejam  

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang tampil mempertahankan keputusan itu berkata, sekiranya mengambil kira peningkatan insentif kepada pasukan Liga M tahun ini, denda Rm1.5 juta dan RM500,000 yang dikenakan kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana itu tidak akan menjejaskan mereka.

Insentif untuk pasukan Liga Super meningkat daripada RM1 juta kepada RM3 juta manakala pasukan Liga Perdana pula menerima RM1 juta tahun ini berbanding RM250,000 tahun lalu.

"Melihat kepada pendapatan setiap pasukan dan geran tahunan yang diberikan kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana tahun ini, denda itu tidak akan memberi kesan kepada mereka," kata Kevin ketika Majlis Ikrar Bebas Rasuah dan Dadah MIFA di sini, hari ini.   

"Denda RM1.5 juta jika dibandingkan dengan geran RM1 juta tahun lalu adalah lebih besar. Tapi jika insentif yang kami berikan terus meningkat seperti yang kami lakukan tahun ini dengan memberikan pasukan Liga Super RM3 juta maka sebenarnya tiada perubahan.

"Selepas membuat pertimbangan mengenai denda RM1.5 juta, pasukan Liga Super masih ada baki RM1.5 juta daripada geran itu, iaitu lebih 50 peratus daripada geran tahun lalu.

"Jadi, bukannya pasukan mendapat kurang daripada tahun lalu. Kami seboleh-bolehnya mahu berlaku adil tapi kami juga perlu bertindak tegas dalam isu ini."   

Kevin menambah, dengan mengenakan denda kewangan yang berat kepada pasukan, FMLLP berharap ia akan memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan profesionalisme dalam bola sepak.   

"Pihak pengurusan harus memastikan mereka bersedia dengan cabaran baharu dan mereka tidak boleh terus mengulangi kesalahan sama," kata Kevin yang mengesahkan Selangor satu-satunya pasukan yang sudah menghantar surat rayuan bagi meringankan denda berkenaan.   

Selain Selangor, tiga lagi pasukan Liga Super yang dikenakan denda itu ialah Kelantan, Kuala Lumpur, dan PKNS FC manakala enam pasukan Liga Perdana pula ialah Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA serta UKM FC.

"Kami berharap mereka meningkatkan kemahiran pengurusan dan menjadi lebih profesional. Sasaran kami untuk tahun yang akan datang untuk memberikan pasukan sebanyak RM6 atau RM7 juta tapi jika pihak pengurusan masih bersikap seperti ini, bagaimana kami mahu memberi mereka duit yang banyak?   

"Penaja juga akan lari kerana mereka tidak gembira dengan sikap seperti ini."

Sumber: BH Online