Bukan Semua Ada GST


Kota Kinabalu: Kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) negara sebanyak enam peratus adalah kadar paling rendah berbanding kadar GST yang dikenakan negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Beliau berkata, kerajaan terus prihatin dengan mengecualikan GST ke atas 578 barangan keperluan.

“Lazimnya mereka (orang tengah) akan menaikkan harga barangan dan salahkan kerajaan kononnya harga naik disebabkan GST.

“Ini tak benar kerana GST sudah kita laksanakan sejak dua tahun lalu, sepatutnya tidak ada kesan sama sekali (pada harga barangan),” katanya ketika melancarkan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan Biz Far Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di sini.

Najib juga berkata, hasil daripada GST membolehkan kerajaan memberi pelbagai bantuan dan insentif kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

​​​​ ​​​​​​“Kita sediakan RM6.8 bilion untuk agihan BR1M tahun ini dan (daripada jumlah itu) di Sabah, RM561 juta untuk Sabah,” katanya menambah, pengagihan BR1M turut membantu ekonomi negara berkembang.

Najib berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar nadi rakyat agar langkah penyelesaian dapat dilaksanakan.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan penganjuran karnival diadakan dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Beliau turut menambah RM5 juta lagi kepada peruntukan RM5 juta sedia ada bagi penganjuran karnival itu di seluruh negara.

Sempena majlis pelancaran karnival itu, Najib mengumumkan penjualan barangan asas pada harga istimewa.

Antaranya beras super 10kg yang dijual pada RM23.80 di pasaran dijual pada RM20 untuk 20kg, ayam bulat segar pada RM5 seekor (RM8.50 sekilogram harga pasaran) dan daging lembu segar pada RM15 sekilogram (RM25 sekilogram harga pasaran).

Najib juga menyerahkan zakat korporat SSM berjumlah RM200,000 dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSM Prihatin RM200,000 kepada Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Zakat korporat itu akan diagihkan kepada 1,000 orang asnaf termasuk beberapa surau dan masjid di sekitar Sabah manakala sumbangan CSR itu pula akan diagihkan kepada 2,000 penduduk Sabah yang layak.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.

Sumber - Hmetro