Cadang Tambah BR1M Bukti BN Ambil Berat Penduduk Miskin Dalam Bandar


ALOR SETAR - Kerajaan juga perlu melihat keperluan utama untuk penduduk miskin dalam bandar termasuk biaya pendidikan anak-anak dan perumahan di samping meneliti tambahan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan sasar itu.


Ketua Pemuda UMNO bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, kerajaan perlu mengutamakan keperluan hidup golongan miskin yang amat memerlukan bantuan asas itu.


Beliau bersetuju penambahan BR1M kepada golongan itu adalah baik, tetapi di sudut lain pula ia mendorong peniaga menaikkan harga barang keperluan.


"Selain itu, penduduk miskin dalam bandar juga terpengaruh dengan gaya hidup moden dan pemberian BRIM seperti tidak memberi kesan kepada golongan tersebut jika ia dibelanjakan ke arah itu, " kata Syed Hafiz.


Beliau yang juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri DUN Kota Darulaman bagaimanapun berkata cadangan menaikkan BR1M bagi kumpulan sasar di dalam bandar merupakan keprihatinan kerajaan dalam menanggani beban hidup yang ditanggung berikutan kenaikan kos sara hidup.


Dalam hal ini, menurut Syed Hafiz, usaha kerajaan negeri Kedah mewujudkan Pusat Tuisyen Barakah bagi membantu seramai 2,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting tahun ini adalah antara langkah terbaik menolong keluarga kurang mampu.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah semasa mengumumkan  Bajet Kedah 2018 bahawa akan tuisyen percuma itu diteruskan dengan peruntukan RM500,000 berbanding RM300,000 sebelumnya.


Selain bantuan tuisyen percuma, pelajar yang berjaya ke institusi pengajian tinggi turut mendapat bantuan kerajaan negeri.


Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO bahagian Alor Setar, Abdul Malek Saad turut menyambut baik cadangan menaikkan bayaran BR1M bagi penduduk bandar.


Ini kerana golongan miskin bandar lebih terasa bebanan hidup berbanding setengah penduduk luar bandar, kata beliau.

Abdul Malek yang juga Pegawai Penyelaras DUN Alor Mengkudu berkata, usaha kerajaan Persekutuan bagi membantu penduduk miskin bandar menunjukkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional tanpa mengira kaum dan fahaman politik.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz semasa soal jawab di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan sedia meneliti untuk meningkatkan bantuan BR1M bagi penduduk  miskin bandar kerana kerajaan sedar kos sara hidupnya adalah jauh lebih tinggi daripada di luar bandar.

"Insya-Allah kerajaan akan lihat semula, mungkin bantuan kepada masyarakat miskin bandar boleh ditingkatkan sedikit dan ia adalah rancagan jangka panjang kerajaan," kata  Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun.

Sementara itu Othman yang menjawab seoalan asal Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) memberitahu kerajaan memperuntukkan RM25.6 bilion untuk BR1M dalam tempoh antara 2012 hingga 2017.


Pada 2018, agihan bantuan akan diberikan kepada lebih 7.2 juta penerima BR1M, membabitkan peruntukan RM6.8 bilion dan jumlah keseluruhan pemberian bantuan itu dari 2012 hingga 2018 adalah RM32.4 bilion. - Kedahnews.com