KUALA LUMPUR – Makan dengan lahap, menyumbat sepenuh-penuhnya makanan ke dalam mulut sehingga dilihat kotor dan jijik.
Menunjukkan tutorial ‘mekap’ dan pemakaian tudung dengan cara tidak sepatutnya malah tutorial menggosok gigi, berkumur dan meludah turut dipamerkan kepada umum.
Tidak sekadar itu, ada yang berlakon ‘mengada-ngada’ atau bahasa anak muda zaman ini ‘acah-acah sweet’ dan sengaja merakam sesuatu insiden dengan niat menjadikannya tular sekaligus meraih perhatian netizen.
Itulah yang menjadi pilihan ramai peniaga khususnya mereka yang menjalankan perniagaan atas talian melalui platform Instagram dan Facebook hari ini.
Menggunakan ‘jalan singkat’ yang juga boleh disifatkan ‘cara kotor’ sehingga sanggup dilabel menjengkelkan, terlampau atau bahasa kasarnya memperbodoh diri demi melariskan sesuatu produk.
Golongan itu yakin dengan berbuat demikian mereka akan lebih cepat dikenali kerana berani menampilkan teknik pemasaran ‘lain daripada lain’ yang mungkin juga dianggap lawak oleh segelintir pihak.
Justeru, bukanlah asing apabila wujud gelaran untuk ‘instafamous’ tertentu yang sanggup melakukan pelbagai gaya sehingga menjadi ‘buah mulut’ netizen.
Tidak kiralah mempromosi produk sendiri atau dibayar bagi melakukan ulasan sesuatu produk, yang pasti masing-masing berlumba mahu jadi ‘luar biasa’.
Rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan, syaratnya hanya perlu berani melakukan sesuatu yang pelik dan jelek supaya mudah tular biarpun bakal dihujani kecaman netizen.
Dalam soal ini mungkin ada yang berpendapat, ‘golongan itu tidak mengganggu kehidupan orang lain, tak suka jangan tengok’.
Selain ada yang menjawab ‘lama-lama nanti mereka (netizen) senyap dan lupa, yang penting produk dikenali’ tidak kurang juga alasan seperti ‘tidak peduli apa orang mahu kata kerana niat hanya mahu bantu keluarga (dengan hasil jualan produk nanti)’.
Ada yang lebih teruk, lagi dikecam lagi menjadi-jadi ibarat ‘pantang dicabar’ dan seperti cendawan tumbuh pula kemunculannya.
Terdapat juga dalam kalangan mereka ini yang mempersoalkan kembali tindakan netizen yang hanya tahu mengecam dan ‘buat dosa’, sedangkan mereka mampu meraih pendapatan lumayan daripada promosi dan jualan produk.
Dalam hal ini, mungkin benar wang ringgit boleh ‘membeli’ apa sahaja, termasuk ‘rasa malu’ seseorang.
Rela dimaki dan dicerca asalkan diri dikenali dan boleh dapat ramai pengikut sekaligus boleh keluar rancangan televisyen dan menjadi lebih popular walaupun tanpa sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.
Jujur, saya tidak boleh hadam dengan pemikiran sebegini.
Fenomena yang semakin menjadi-jadi ini membuatkan saya terfikir bahawa zaman dan teknologi semakin canggih malangnya mengapa cara dan mentaliti kita semakin mundur.
Sanggup merendahkan martabat dan memperbodohkan diri semata-mata mahu meraih perhatian.
Adakah kita begitu terdesak untuk itu?
Lebih menyedihkan ada yang terjadi, tujuan asal untuk menjual produk tetapi gaya dan kata-kata yang dikeluarkan sehingga menyentuh perihal ‘dalam kain’ dan menjadi ‘bahan’ kepada umum.
Itu bukan lagi melangkaui batasan adat dan budaya, bahkan agama juga tidak mengajar kita untuk jadi begitu.
Inisiatif dan usaha menambah pendapatan pada zaman ekonomi serba mencabar ini memang harus dipuji, termasuklah memanfaatkan kemudahan media sosial untuk tujuan berniaga.
Dahulu, tanpa ilmu mengenai selok belok perniagaan serta pemasaran mustahil untuk seseorang bergelar ahli perniagaan.
Seiring perubahan zaman, situasi juga berubah dan memungkin sesiapa sahaja bergelar peniaga terutama dengan adanya platform Instagram dan Facebook menjadikan semuanya ‘di hujung jari’.
Saya juga memahami, lain orang lain kaedah dan pendekatannya untuk memenangi hati pembeli.
Tetapi janganlah itu dijadikan ‘lesen besar’ untuk kita menyalahgunakan kebebebasan dan kemudahan yang ada sehingga boleh mengundang kutukan serta memberi implikasi negatif kepada masyarakat.
Memang tindakan seperti itu bukanlah jenayah besar, bahkan tidak juga tertakluk dalam undang-undang khas untuk didakwa dan disabitkan kesalahan.
Namun, di sinilah sebenarnya penting peranan kita sebagai masyarakat bertamadun, berilmu dan kaya dengan adab dan tatasusila dalam mengendalikan teknologi dengan sewajarnya.
Mungkin juga sampai masanya pakar dan ahli akademik boleh tampil menegur dan berkongsi kaedah pemasaran zaman moden yang sewajarnya berbanding apa yang dibuat oleh ramai peniaga hari ini.
Tidak terkecuali, masyarakat secara keseluruhannya turut memainkan peranan untuk membendung perkara ini, jangan di mulut kata tak suka, tapi tanpa sedar anda juga antara yang sering berkongsi sesuatu perkara di laman sosial sehingga menjadi tular.
Jika tidak, masakan parodi sesuatu isu termasuklah yang terbaru insiden ‘awek cendol’ menjadi tular dan diparodi oleh ramai netizen dalam pelbagai versi.
Meskipun untuk tujuan ‘suka-suka’, kesannya amat besar kepada masyarakat yang mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan ‘trend terkini’ yang tular.
Kembalilah merujuk kaedah pemasaran berkesan yang sesuai digunapakai dalam masyarakat berbilang bangsa yang penuh dengan adat dan budaya, bukan hanya menggunakan publisiti murahan demi kepentingan peribadi.
(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam apa yang diperkatakan oleh penulis) – BERNAMA