Cara Muat Turun Data Facebook


San Francisco: Sejak skandal kebocoran data peribadi 50 juta pengguna Facebook, ramai bimbang mengenai kemungkinan data mereka antara yang menjadi mangsa dan berikut cara untuk melihat sama ada data seseorang pengguna Facebook dikumpul pihak ketiga.

Pengguna Facebook perlu memuat turun data mereka dan dari situ, boleh mendapatkan senarai rekod panggilan, pesanan teks, termasuk lokasi setiap kali anda log masuk.

Caranya, log masuk ke akaun Facebook, pergi ke ‘News Feed’ untuk melihat pilihan dan tekan butang ‘Setting’ seterusnya butang ‘Download a copy of your Facebook data’ di bahagian bawah skrin.

Menurut Daily Mail, ia akan membawa anda ke laman baru dan anda perlu menekan butang ‘Start My Archive’ untuk mendapat salinan yang anda kongsikan di laman web, termasuk data peribadi yang dikumpulkan.

Facebook akan meminta anda memasukkan kata laluan serta e-mail supaya anda dimaklumkan apabila arkib anda sedia untuk dimuat turun.

Ia mungkin mengambil masa beberapa minit bergantung kepada berapa banyak data anda dan berapa lama anda menjadi pengguna Facebook.

Contohnya, jika anda sudah menjadi pengguna lebih sedekad, ia akan mengambil 10 minit untuk syarikat gergasi itu menghantar data.

Sebaik saja menerima fail anda, maklumat akan dipecahkan kepada beberapa bahagian seperti rakan, pesan teks, pengiklan dan banyak lagi.

Fail arkib itu boleh sehingga 10 tahun lalu, malah termasuk maklumat yang pengguna sangka mereka sudah memadamkannya.

Ada pengguna terkejut mendapati Facebook mempunyai maklumat setiap orang dalam buku alamat, malah wartawan CNN menyatakan mengandungi nombor mendiang neneknya yang tidak pernah menggunakan Facebook atau e-mel.

Ramai terkejut mendapati senarai pengiklan Facebook yang berkongsi data pengguna media sosial itu, ada yang sehingga 100 syarikat.

Sementara itu, AFP melaporkan Jawatankuasa Digital, Budaya dan Media Parlimen Britain mahukan CEO Facebook, Mark Zuckerberg, sendiri memberi taklimat mengenai kebocoran data itu, sama ada melalui sidang video atau datang sendiri, bukannya menghantar eksekutif kanannya.

Kesatuan Eropah pula memberi masa dua minggu kepada Facebook untuk menjawab soalan mengenai skandal membabitkan syarikat Britain Cambridge Analytica (CA), menggunakan aplikasi bagi mengumpul data peribadi pengguna serta rakan pengguna media sosial itu.

Sumber: Metro