'Cari Kawasan Selamat Ketika Ribut Petir' - MetMalaysia


ORANG ramai dinasihatkan mengelak berada di kawasan lapang ketika berlaku ribut petir susulan musim peralihan monsun bermula semalam hingga minggu pertama Mei ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Alui Bahari berkata, musim peralihan monsun yang kemuncaknya pada April ini dijangka menyebabkan berlaku angin kencang, hujan lebat seterusnya banjir kilat terutama pada waktu petang dan awal malam.

Katanya, sepanjang April hingga minggu pertama Mei ini, Malaysia melalui tempoh peralihan monsun yang menggantikan fasa akhir monsun Timur Laut.

“Ia menyebabkan angin yang bertiup bertukar arah, dari Timur Laut ke Barat Daya. Pertembungan angin itu menyebabkan berlaku angin kencang, ribut petir dan hujan lebat dalam tempoh singkat antara satu hingga dua jam sekali gus mengakibatkan banjir kilat lebih kerap berlaku.

“Ia lebih kerap berlaku di kawasan negeri pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, pantai Barat Sabah serta kawasan Barat dan Tengah Sarawak terutama pada waktu petang dan awal malam,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurutnya, walaupun hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku dalam tempoh singkat iaitu antara setengah jam hingga dua jam, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada terhadap keadaan cuaca dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca.

Katanya, angin kencang juga diramalkan menghasilkan hujan batu di beberapa tempat dan puting beliung berskala kecil susulan pembentukan awan kumulunimbus yang juga turut dikenali sebagai awan ribut petir.

“Bagaimanapun, kejadian puting beliung serta hujan batu amat sukar diramal, dan susulan itu orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada terhadap keadaan cuaca.

“Elakkan berada di kawasan lapang ketika ribut petir berlaku selain elak meletak kenderaan di kawasan banyak pokok tinggi dan papan tanda yang dikhuatiri boleh tumbang akibat angin kencang dan ribut petir,” katanya.

Sumber: MyMetro