Cerita Lelaki Teruja Lihat Not Kertas Negaranya


RINDU pada tanah air, lelaki ini teruja melihat mata wang negara sendiri!

Ceritanya bermula apabila hari ini aku jumpa kawan baharu. Abdul Rahman ni juruwang di kiosk Shawarma Halab, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kisahnya begini. Aku ni memang berat mulut. Tak pandai berborak apatah lagi nak memulakan perbualan. Tapi terdetik hari ni nak ringankan mulut.

Lagipun aku nak uji ilmu bahasa Arab aku yang sebesar kepala mancis tu. Selepas pesan 7 shawarma, aku mula acah-acah cakap Arab. “Enta Suriyy?” (Kau orang Syria?).

Abdul Rahman membalas, “Yes, I’m Syrian.” (Ya, saya orang Syria)

Dah kenapa aku tanya dalam bahasa Arab, dia pula jawab Inggeris? Mungkin muka Melayu gemuk ni dia tak sangka boleh cakap Arab.

Aku sambung, “Min wen enta? Min Halab?” (Kau dari mana? Dari Aleppo?)


Sebelum ni muka dia serius. Terus dia senyum dan jawab dia berasal dari Halab (Aleppo). Terus dia cakap Arab dengan laju. Aku terus gabra. Rasanya dia tanya sama ada aku boleh bertutur dalam bahasa Arab.

Aku jawablah “qalil-qalil” (sedikit-sedikit). Aku hanya tahu sedikit slanga Arab Syria, “isylunak? Syu akhbarak?” (Kedua-duanya bermaksud apa khabar?)

Muka dia nampak gembira walaupun bahasa Arab aku tu rasanya macam bunyi Jawa. Haha.

Kemudian aku bagitahu yang aku ni wartawan, pernah buat laporan mengenai pelarian Syria tetapi tak pernah dapat masuk negara bergolak tu.

Banyak kami borak. Kemudian aku keluarkan mata wang 100 lira Syria dan tunjuk pada dia. Dia sangat teruja! Dia ambil dari tangan aku dan membelek wang itu.

Habis ditunjuk pada semua kawannya yang kerja di situ. Siap tunjuk pada kiosk sebelah juga. Dia beritahu, nilai 100 lira Syria hanya lebih kurang lapan ringgit sahaja.

Ketika dibelek wang buruk itu, terlihat riak wajahnya, kerinduan yang dalam pada kampung halaman. Abdul Rahman berkata, dah lima tahun dia tak melihat mata wang itu. “You only can get this in Damascus!”

Sayu pula aku lihat tingkah laku dia. Dia mungkin sudah selesa di negara ini, tapi pada senyuman itu, tersembunyi garis-garis harapan… Satu hari dia mahu kembali ke cebisan tanah Syam itu.

Dia kemudian berterima kasih kepadaku kerana membantu rakyat Syria dengan tugasku sebagai wartawan.

P/s: Shawarma Halab, Bukit Bintang adalah shawarma paling sedap aku pernah rasa. Kawan-kawan aku juga berpendapat sama. Lagi2 kalau ada ekstra “tsum”. (Sos bawang putih)

* Sempat juga dia menjemput melakukan penggambaran di rangkaian restorannya.