Gurun, Kedah akan tercatat dalam peta dunia sebagai tempat pengeluar kereta buatan Perancis seperti jenama Citroen dan Peugeot.
Sebelum ini Gurun sudah pun terpahat sebagai tempat pengeluar kenderaan MPV Naza Kia Malaysia di Naza Automotive Manufacturing Gurun.
Model terbarunya Kia Grand Carnival dilancarkan jualannya baru-baru ini.
Gurun juga tempat pengeluar pelbagai model motosikal buatan Malaysia keluaran Modenas yang dimiliki DRB-Hicom.
Namun Gurun juga terpalit sejarah hitam buat negara apabila Perwaja Holdings Berhad (Perwaja) yang dibawa bekas PerdanaMenteri Dr. Mahathir Mohamad, gulung tikar akibat rugi berbilion ringgit walaupun terpaksa ditanggung hutangnya (bailout) oleh kerjaaan.
Baru-baru ini Naza Corporation Holdings memeterai perjanjian penjualan saham dan usahasama dengan syarikat pembuat kereta kedua terbesar Eropah, Groupe PSA, dengan hasrat menjadikan Gurun, Kedah sebagai hab penghasilan kereta Eropah di rantau ini.
Kerjasama itu menyaksikan Groupe PSA memegang majoriti saham dalam operasi bisnes kilang Pembuatan Automotif Naza (NAM) di Gurun, Kedah, sementara Naza bertanggungjawab dalam pengedaran kereta jenama Peugeot, Citroen dan DS Automobiles untuk pasaran tempatan dan ASEAN.
Kumpulan itu menjangka terdapat 680 juta pelanggan berpontesi di rantau ini kerana kadar pemilikan kenderaan terus meningkat pada setiap tahun..
.
Perjanjian usahasama itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Usahasama terbaharu ini bakal menyaksikan keluaran model-model baharu dan membantu membangunkan industri dinamik automotif Malaysia yang responsif kepada teknologi terbaharu.
“Ini satu lagi contoh hebat bagi jalinan kerjasama oleh syarikat Malaysia dengan aspirasi global berlangsung di bawah pimpinan kerajaan ini,” kata Najib semasa menyampaikan ucaptama pada majlis itu yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra baru-baru ini.
NAM dijangka menghasilkan 18,000 unit kenderaan untuk tahun 2019, dengan tambahan lagi 21,000 unit untuk tahun 2020 yang bakal menjana pendapatan masing-masing sebanyak RM724 juta dan RM967 juta.
Menurut Perdana Menteri lagi, kerjasama itu akan melonjak ekonomi negara, terutama di sekitar Gurun dengan jangkaan penglibatan 70 vendor tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang, sekaligus mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan di Kedah.
“Anda tidak akan mendengar semua ini daripada pihak pembangkang kerana setiap kali ada syarikat luar datang ke sini, mereka dakwa bahawa kita mahu menjual negara. Kita langsung tidak buat perkara tersebut. Mereka yang cuba memperdaya rakyat,” tegas Najib.
Hasil kerjasama itu pada tahun tahun ini juga NAM akan menghasilkan model pemenang anugerah, Peugeot 3008 seterusnya model ikonik Citroen C5 Aircross pada tahun depan. - Kedahnews.com