Comel! ‘Biskut Alien Viral’ Gelikan Hati Netizen


MENJELANG musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi, orang ramai pasti sudah mula memikirkan tentang idea biskut raya yang ingin ditempah atau dibuat sendiri.

Baru-baru ini, tular di media sosial berkenaan biskut susu berbentuk coklat Hersheys yang merupakan resepi daripada seorang pengguna Facebook bernama Maria Khalisya Khalis.

Resepi dan cara membuat biskut susu yang hanya menggunakan empat bahan itu kemudiannya dikongsikan wanita tersebut di laman Facebooknya dan mendapat perhatian netizen.

Ini disebabkan bentuknya yang comel dan kemas selain ia turut kelihatan seperti seorang makhluk asing dan sedap dimakan.

Melalui perkongsiannya di laman Facebook itu, Maria turut berkongsi gambar biskut susu tersebut yang sangat gebu dan sangat menyelerakan.








“Biskut susu viral. Tapi akak cuba yang 4 bahan. Memang sedap. Cair dekat mulut. Buat bentuk coklat Hershey. Sebab anak-anak suka coklat tu.

“Tapi kakak saya kata macam muka alien je. Kelakar. Sebelum bakar semua kurus ramping dah bakar semua kegebuan dan kecomelan.

“Sampai 2 dari kanan yang depan tu boleh pusing toleh tepi terkejut tengok member-member lain bertukar jadi gebu,” tulisnya dalam perkongsian itu.

Teruja melihat betapa mudahnya untuk membuat biskut tersebut, para netizen juga mula ingin cuba membuat sendiri menggunakan resipi yang telah dikongsikan Maria.

Nampak mudah, tapi hasilnya lain pula yang jadi!

Gambar-gambar hasil biskut susu tersebut kemudiannya menjadi tular disebabkan pelbagai bentuk yang terhasil menggelikan hati orang ramai yang melihatnya.

Gambar-gambar hasil biskut susu tersebut hangat diperkatakan di Facebook sehingga kini orang mula memanggil biskut tersebut sebagai biskut viral.

Ramai juga yang berpendapat dengan tularnya biskut susu tersebut menjadikan ia sebagai salah satu biskut paling popular untuk dijadikan biskut raya tahun ini. - Kedahnews.com