Dadah Sintetik Tinggalkan Kerosakan Otak Kekal


PUTRAJAYA - Anggapan dadah sintetik sebagai 'party drug' yang tidak mempunyai kesan serius jangka panjang membuatkan usaha memerangi dadah lebih sukar daripada sebelumnya, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berkata dadah sintetik yang diklasifikasikan sebagai 'New Psychoactive Drug' (NPS) sebenarnya mempunyai kesan ketagihan yang jauh lebih kuat serta meninggalkan kerosakan otak kekal dan teruk ke atas penagih.

"Kemunculan pelbagai bentuk dadah sintetik yang dihasilkan di dalam makmal adalah jauh lebih murah berbanding dadah tradisional merupakan cabaran dalam memerangi dadah hari ini," katanya dalam satu kenyataan bersempena Hari Ulang Tahun Pemadam ke-42 semalam.

Menyedari akan cabaran yang dihadapi itu, Nur Jazlan berkata Pemadam akan terus berusaha mendekati orang muda dan memperluas jaringan aktivis mahasiswa dan pemimpin belia dalam memastikan ancaman dadah jenis baharu tersebut dapat dikekang dan dibasmi agar ia tidak merosakkan masa depan anak bangsa.

Beliau berkata lebih 20 institusi pengajian tinggi dan empat kolej universiti swasta telah mewujudkan Kelab Mahasiswa Pemadam pada tahun lepas dan usaha tersebut akan diteruskan pada tahun ini untuk memerangi gejala dadah di negara ini.

Nur Jazlan turut meminta aktivis dan penggiat Pemadam di seluruh negara agar mempergiat usaha murni menyelamatkan anak bangsa daripada gejala dadah.

"Semua aktivis dan penggiat Pemadam harus menjadi 'tangan-tangan' yang akan menarik dan memapah mereka yang telah terjebak untuk keluar dari dunia ketagihan dan kembali membina semula sebuah hidup yang penuh erti," katanya.

Pemadam, sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada 1976, memainkan peranan mengumpul dan menggembleng sumber kepakaran, tenaga dan dana serta mencari pendekatan terbaik dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah.

Menurut Nur Jazlan, lebih 200 program dijalankan oleh Pemadam pada tahun lepas melalui sekretariat kebangsaan dan lebih 1,500 program tempatan dianjurkan oleh Pemadan negeri, daerah parlimen, Kelab Mahasiswa Pemadam, aktivis Pemadam di seluruh negara.-BERNAMA