SEGAMAT - Kementerian Kesihatan menasihatkan ibu bapa yang belum membawa anak-anak mereka menerima suntikan vaksin difteria agar 'membuka mata' dan segera mendapatkannya bagi melindungi anak-anak mereka daripada terkena jangkitan yang boleh membawa maut itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata meskipun tiada bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang gagal mendapatkan imunisasi pada anak-anak mereka, namun mereka perlu sedar impak yang bakal diterima oleh anak-anak khususnya yang berusia tujuh tahun ke bawah.
"Tahun lepas, sebanyak 32 kes positif difteria dilaporkan di seluruh negara dan membabitkan tujuh kematian... lebih membimbangkan, kesemua kes kematian berkenaan disebabkan oleh kedegilan sesetengah komuniti yang enggan dan tidak percaya pada suntikan vaksin pada anak-anak mereka.
Jika kita tak dapat vaksin, besar kemungkinan kita akan dijangkiti penyakit tersebut yang juga boleh membawa maut. Jadi, kita galakkan ibu bapa untuk vaksinkan anak masing-masing, dapatkan pelalian sebagaimana mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Mesra Rakyat yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam di Padang Awam Jementah, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.
Dr Noor Hisham berkata jangkitan difteria sepatutnya dapat diatasi jika masyarakat khususnya ibu bapa mendapatkan suntikan 'lima serangkai' yang diberi kepada semua kanak-kanak di negara ini pada usia dua, tiga dan lima bulan serta suntikan tambahan pada usia 18 bulan.
Katanya suntikan vaksin yang disyorkan oleh kementerian ini mampu mencegah pelbagai jenis penyakit berbahaya yang mudah dijangkiti oleh kanak-kanak dan sekiranya dijangkiti, gejala itu adalah ringan dan tidak meninggalkan kesan komplikasi.
Semalam, media melaporkan Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat satu kes kematian di Miri, Sarawak pada 14 Mac lepas membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan disyaki akibat difteria kerana tidak mendapat pelalian bagi penyakit itu sejak lahir.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati keluarga mangsa enggan mendapatkan pelalian atas dasar kepercayaan agama.- BERNAMA