SEJAK terpalit kontroversi kahwin suami orang, akaun Instagram pelakon, Izreen Azminda ditutup bagi elak kecaman bertubi-tubi netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan aktres itu.
Bagaimanapun, tindakan Izreen yang menutup akaun Instagramnya itu telah menyebabkan akaun rakan baiknya, Rita Rudaini pula yang menjadi mangsa sasaran netizen.
Jelas Rita, Izreen tidak pernah menghubunginya sejak berkahwin dengan Ude dan turut berasa kecil hati dengan rakannya itu yang tidak mahu bertanggungjawab dengan menutup akaun laman sosialnya.
“Sebelum ini kalau saya kena kecam saya tak pernah tutup komen, biarlah. Saya tak pernah libatkan rakan-rakan keliling. Saya bukannya mahu hentam Izreen tetapi nak beritahu tentang diri saya.
“Izreen pun kenapa buat macam ni. Kenapa lari? Kenapa tutup Instagram?
“Jujurnya saya berkecil hati dan terasa hati dengannya dan sebagai kawan dia tidak sepatutnya buat macam ni,” katanya kepada program terbitan TV3 iaitu Melodi, seperti yang dilaporkan portal MStar Online.
Tambah Rita, dia sedia untuk bersemuka dengan Izreen berhubung isu tersebut walau namun rakannya itu tidak pernah menghubunginya selepas berkahwin.
Selain itu, mengulas mengenai akaun Instagramnya yang diserang netizen dalam isu yang melibatkan Izreen ini, Rita berkata dia berang dengan situasi tersebut memandangkan dia tidak ada kena-mengena dengan kes itu.
“Memang geram! Lainlah kalau saya yang kahwin dengan suami orang. Kena kecam pun saya puas hati.
“Masalahnya teman lelaki pun tiada. Apatah lagi skandal. Kucing adalah…,” selorohnya.
Ujar Rita, dia ada menghubungi Izreen selepas laman Instagramnya menjadi serangan netizen bagi mendapatkan penjelasan daripada Izreen mengapa bertindak sedmikian.
Rita merasakan kecaman yang diterimanya itu semakin teruk kini yang menyebabkan dia mengambil tindakan tersebut walaupun pada mulanya mampu bersabar.
“Masa benda tu pecah (terbongkar) saya kena kecam dan bila saya menelefonnya dia kata biarlah. Dia yang tutup komen tetap saya yang kena.
“Saya bersabar lagi sampai ke tahap ini dan saya rasa sekarang keadaan teruk sangat,” katanya.
Bagaimanapun, kata Rita, Izreen akhirnya datang mencarinya baru-baru ini bagi berbincang mengenai isu tersebut dan dia sudah pun meluahkan pendapat peribadinya.
Rita juga mendedahkan bahawa dia hanya mampu menasihati Izreen namun tidak boleh mencampuri sebarang urusan peribadi dan keputusan yang dibuat pelakon itu.
‘”Saya kalau berkawan dengan seseorang, kalau ada benda tidak elok saya akan beritahu terus terang tetapi terpulang jika hendak terima atau pun tidak.
“Saya bukannya jenis kawan yang tengok sahaja apa kawan buat. Sebelum benda ini jadi saya dah cakap risikonya apa, ambil hak orang adalah salah,” ujarnya.
Jelas Rita lagi, apabila seseorang individu itu menumpang kasih tanpa izin, jalan terbaik untuk tidak mengeruhkan keadaan adalah dengan menghormati pihak lain dan meminta maaf atas tindakan mereka.
“Bagi saya poligami itu tak salah tetapi kita yang buat bermadu itu macam jahat sangat,”
“Kita kena sedar bila menumpang kasih dan ambil hak orang tanpa minta izin kita kena hormat dia. Jangan cakap banyak dan apa-apa jadi minta maaf, itu yang terbaik,” jelasnya kepada program tersebut.
Menurut Rita, kontroversi tersebut bukan hanya memalukan dirinya, tetapi juga terpalit kepada keluarga dan anak-anaknya.
Izreen sebelum ini mendedahkan bahawa dia sudah bernikah dengan Ude pada Ogos tahun lalu secara tertutup dan dirahsiakan atas permintaan Ude.
Isu rumah tangga mereka menjadi perhatian ramai ketika isteri pertama Ude, Intan Liana Saleh hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 28 Februari lalu bagi proses lafaz cerai.
Namun ia kemudian ditangguhkan kepada tarikh 22 Mac depan selepas permintaan peguan mewakili Ude Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain yang memohon untuk menyelesaikan beberapa isu tuntutan selepas penceraian.
Ude memfailkan permohonan cerai terhadap Intan pada 30 November 2017 setelah lima tahun mendirikan rumah tangga. - Kedahnews.com