Obses terhadap watak animasi Jepun Doraemon dan kucing comel Hello Kitty mendorong Nur Sakeena Kamarol Zaman, 24, dan suaminya Saiful Nizam Hassan, 35, memilih tema itu bagi memeriahkan majlis perkahwinan mereka, 14 Januari lalu.
Nur Sakeena berkata, mereka membelanjakan RM10,000 untuk menghias pelamin dan membeli pelbagai aksesori mempunyai kaitan dengan watak Doraemon dan Hello Kitty.
Menurutnya, bagi memastikan majlis berlangsung di kediaman keluarganya di Meru, Klang, Selangor berjalan lancar, dia dan suami melakukan perancangan sejak setahun lalu.
“Pada usia 17 tahun saya jatuh hati pada karektor Hello Kitty manakala suami pula peminat tegar kartun Doraemon sejak kecil lagi.
“Dilayan sebagai raja sehari hanya sekali seumur hidup, jadi timbul idea untuk memeriahkan lagi majlis persandingan kami dengan mengangkat tema dua watak ini.
“Bukan setakat mencari kepuasan, kami mahu hari bersejarah itu menjadi kenangan terindah buat seluruh ahli keluarga dan tetamu yang hadir kerana ia amat unik,” katanya.
Katanya, bukan saja pelamin, cenderahati, kek, bunga telur, barangan hantaran dan gelang pernikahan turut menggunakan motif kedua-dua watak itu.
Dia memberitahu pada mulanya, perancangan itu hampir terbantut berikutan sukar mencari perancang perkahwinan yang dapat memenuhi kehendak mereka.
“Selepas berurusan dengan lima butik, barulah kami jumpa perancang perkahwinan sesuai. Bunga telur dan hantaran digubah sendiri ahli keluarga manakala kek serta cenderahati ditempah khas,” katanya.
Baginya, dia berasa amat gembira apabila melihat raut wajah ceria dalam kalangan tetamu pada majlis persandingan berikutan tertarik dengan tema digunakan.
“Kami teruja kerana bukan kanak-kanak saja, malah golongan dewasa tidak melepaskan peluang dengan merakam gambar dan video sebagai kenangan,” katanya.
Sebagai peminat tegar, Nur Sakeena dan suami menyimpan pelbagai koleksi barangan bertemakan Doraemon dan Hello Kitty di kediaman mereka.
“Sejak dulu, saya dan suami memang mengumpul macam-macam barangan Hello Kitty dan Doraemon. Kini, selepas berumah tangga, semua barangan itu disimpan di satu tempat khas.
“Malah, kerana obses kami sepakat menggunakan dapur gas, kuali, periuk dan pinggan mangkuk Hello Kitty dan Doraemon selain menghias ruang tamu dengan tema sama,” katanya.
Sumber: MyMetro