PETALING JAYA - Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni berkongsi pandangan mengenai masalah terkini skuad Harimau Malaya.
Bakri, bekas pemain tengah skuad Sukan Olimpik 1980 Moscow itu mengakui aspek fizikal dan tahap kecergasan adalah salah satu punca Harimau Malaya tidak mempamerkan aksi terbaik.
Beliau turut mengulas tawaran mengejutkan oleh jurulatih kecergasan, Iskandar Salleh yang secara terbuka menyatakan hasrat mahu mengambil alih skuad negara bagi menjalani latihan kecergasan (strenght & conditioning).
"Saya tidak bersetuju kalau ada pihak yang menawarkan diri untuk mengambil alih skuad negara dengan hanya menumpukan latihan kecergasan semata-mata.
"Sekarang ini adalah zaman bola sepak moden. Apa sahaja jenis latihan perlu ada bola bersama. Kalau kita hanya menumpukan kecergasan, apa mereka (pemain) dapat?.
"Dalam bola sepak boleh dikatakan 70 peratus adalah aktiviti berlari dan tak boleh dibuat tanpa bola sepak," ujarnya kepada mStar Online.
“Kalau Saya Presiden FAM, Jangan Ganggu Apa Saya Buat...”
Bekas jurulatih Perlis ini memberitahu makna kecergasan yang sebenar dalam bola sepak.
"Dalam bola sepak, ada dua kecergasan iaitu latihan kardio iaitu apa yang kamu buat ia tidak akan memenatkan pemain dan kedua adalah otot.
"Memang dua perkara ini kita perlu ada. Tetapi ada lagi perkara yang paling penting tidak tersenarai dalam latihan kecergasan, iaitu latihan mental.
"Kalau kardio bagus, otot bagus tetapi mental tak bagus kedua-duanya akan hancur.
"Jika nak dibandingkan dengan dulu, mental kami memang kuat dan terlebih-lebih. Sebab itu secara automatik kecergasan kami pun bagus.
"Otot pula, kami tidak ada latihan kercergasan khusus tetapi rutin harian seperti angkat kayu balak, naik bukit lari dalam becak membuat kami jadi kuat.
"Sebab itu ada perkara tidak boleh disamakan dengan yang dahulu kerana sekarang adalah bola sepak moden.
"Dan masalah mental tidak kuat ini memang dapat dilihat dengan jelas ketika Malaysia bertemu Mongolia baru-baru ni (Khamis) lalu. Mereka sudah seperti 'kuda tua'.
"Kenapa pihak lawan menang? Sebab mental mereka kuat. Fokus mereka nak jatuhkan nama besar Malaysia sangat kuat. Padahal bola sepak kita lebih moden daripada lawan," ujarnya yang mengurus Akademi Tunas Legenda.
Bakri yang mempunyai Lesen A dari England berkata beliau ada cara tersendiri untuk menjadikan pemainnya seimbang, dari segi kecergasan dan otot serta kemahiran.
"Tak perlu menjalani latihan seperti komando kerana ia tidak lagi sesuai.
"Apa yang saya lakukan kepada pemain dengan latihan menendang bola 500 kali kerana dalam masa sama mereka akan ada otot. Teknik pun pemain akan dapat.
"Apa yang paling penting kena ubah metodologi latihan. Instructor (pengajar) kena ada pengalaman bermain bola sepak. Bukan hanya pengalaman Sains Sukan sahaja.
"Dan pengajar ini perlu bermula dari awal. Bagi saya senang sahaja, 'kuih yang kita buat tu akan ikut acuannya'," katanya yang dianggap bekas pemain legenda negara.
Bakri merupakan salah seorang penjaring gol pada aksi Kelayakan Sukan Olimpik menentang Korea Selatan yang menyaksikan pasukan Malaysia menang 2-1.
Sumber: Mstar Online